Wei Chong-Kai Wun beregu lelaki pertama negara menjuarai Indonesia Masters

Wei Chong-Kai Wun beregu lelaki pertama negara menjuarai Indonesia Masters

MAN Wei Chong-Tee Kai Wun bergambar di podium selepas perlawanan akhir Indonesia Masters 2025 di Istora Senaya, Jakarta, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melakar kemenangan sulung dalam kejohanan badminton berstatus Super 500, selepas mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada Indonesia Masters di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia, hari ini.

Pasangan No. 13 dunia itu mencipta kejutan apabila meraih kemenangan straight set ke atas beregu No. 4 dunia tersebut 21-11, 21-19 dalam masa 38 minit yang juga merupakan kejayaan pertama beregu lelaki Malaysia pada kejohanan berkenaan.

Belum pernah menewaskan Fajar-Rian yang merupakan bekas juara dunia daripada empat pertemuan lalu, Wei Chong-Kai Wun melakar kemenangan manis menundukkan beregu handalan Indonesia buat kali pertama di hadapan penyokong mereka.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan beregu No. 3 Malaysia itu membawa pulang pingat emas, trofi kejohanan dan wang tunai AS$27,525 (RM164,284).

Kejayaan yang dicatat Wei Chong-Kai Wun itu juga bakal memberi suntikan moral buat mereka yang akan mengetuai cabaran beregu lelaki negara ke Kejohanan Berpasukan Campuran Asia 2025 pada 11-16 Februari ini di Qingdao, China.

Wei Chong-Kai Wun yang mengutip 9,200 mata selepas muncul juara Indonesia Masters turut berpeluang memperbaiki ranking dunia mereka dengan mengintai tempat ke dalam kelompok 10 terbaik.

Wei Chong ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, kemenangan ke atas Fajar-Rian merupakan satu kejayaan yang amat bermakna kerana mereka tidak pernah menewaskan beregu tersebut.

“Kami tewas kesemua empat pertemuan sebelum ini dan kemenangan, hari ini, merupakan kejayaan pertama kami,” katanya.

Ketika ditanya pula mengenai persaingan dengan dua beregu senior, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, kata Wei Chong, tidak pernah terlintas di fikiran dia dan Kai Wun bersaing dengan kedua-dua pasangan itu kerana fokus mereka hanya kemenangan untuk Malaysia.

Kai Wun pula berkata, muncul juara di Indonesia Masters menjadi hadiah terbaik buat mereka berdua menjelang sambutan Tahun Baru Cina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya