WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) akan mempertimbangkan untuk memberikan pelepasan terhormat kepada lebih 30,000 veteran gay dan biseksual yang dihalang daripada berkhidmat dalam tentera kerana orientasi seksual mereka.
Pelepasan terhormat itu membolehkan veteran tentera layak mendapat faedah perubatan dan kelebihan lain.
Jabatan itu dan lima plaintif bergerak bersama untuk mendapatkan kelulusan, penyelesaian yang akan menamatkan tindakan kelas yang dicadangkan pada 2023, mendakwa hak Perlembagaan anggota perkhidmatan untuk proses wajar dan perlindungan sama rata telah dicabuli.
Dasar Pentagon yang dikenali sebagai ‘Jangan Tanya, Jangan Beritahu’ yang dilaksanakan dari 1993 hingga 2011, melarang individu gay dan biseksual secara terbuka daripada perkhidmatan tentera dan menyediakan pelepasan selain daripada gelaran terhormat bagi anggota yang mendedahkan orientasi seksual mereka.
Di bawah penyelesaian yang difailkan di Mahkamah Persekutuan San Francisco, Jabatan Pertahanan akan mewujudkan proses yang diperkemas untuk veteran supaya orientasi seksual mereka dikeluarkan daripada kertas kerja pelepasan.
Jabatan itu juga bersetuju menyemak semula permintaan untuk menaik taraf pelepasan veteran kepada golongan terhormat.
Peguam utama dalam kes itu, Chelsea Corey dari firma undang-undang Haynes Boone memberitahu Reuters memasukkan orientasi seksual veteran pada kertas kerja menunjukkan diskriminasi yang disengajakan.
“Pelepasan yang disenaraikan sebagai ‘selain daripada yang terhormat’ boleh menghalang veteran daripada menerima pelbagai faedah termasuk penjagaan kesihatan, pinjaman, peluang pekerjaan dan bantuan tuisyen.
“Penyelesaian ini akan membolehkan sebahagian daripada mereka yang terjejas akhirnya dapat mengakses faedah perubatan dan lain-lain yang disediakan untuk veteran tentera,” katanya.
Perjanjian itu perlu mendapat kelulusan Hakim Majistret AS, Joseph Spero yang dijadualkan mengadakan perbicaraan pada 12 Februari ini.
Jabatan Pertahanan dan Jabatan Kehakiman AS bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berhubung isu itu.
Kira-kira 14,000 anggota diberhentikan daripada tentera di bawah polisi ‘Jangan Tanya, Jangan Beritahu’, sementara lebih 20,000 yang lain diberhentikan sejak 1980 kerana orientasi seksual sebenar atau yang dilihat, menurut pemfailan dalam tuntutan mahkamah.-REUTERS