KUALA LUMPUR: Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil pertama negara mara ke suku akhir dan pasangan No. 5 dunia itu bakal berdepan ujian sebenar menentang gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Dengan rekod pertemuan kedua-dua beregu berpihak kepada Tang Jie-Ee Wei 3-2 dan faktor positif yang boleh dijadikan bekalan ialah kemenangan terbaru ke atas pasangan No. 14 dunia itu pada Jelajah Dunia Akhir, Disember lalu sekurang-kurangnya mampu menjadi penyuntik semangat.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei diharap dapat menyusun strategi sebaik mungkin dengan ketua jurulatih, Nova Widianto kerana Midorikawa-Saito kelihatannya berada pada prestasi yang baik selepas mengejutkan beregu No. 8 dunia dari Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Wiidjaja 21-17, 21-17 di pusingan kedua.
Semalam, gandingan campuran No. 1 Malaysia itu menewaskan beregu Taiwan yang berada di tangga ke-52 dunia, Lu Ming Chu-Hung En Tzu 21-8, 21-14 dalam masa 30 minit.
Ee Wei ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, dia dan Tang Jie telah bertemu beregu Jepun itu banyak kali dan penting untuk berbincang dengan jurulatih untuk perancangan suku akhir.
“Apa yang boleh saya janjikan, esok (hari ini), kami akan bermain habis-habisan, buat masa ini kami mahu berehat dulu dan kembali buat rutin biasa kami,” katanya.
Tang Jie pula berkata, setiap lawan yang mereka temui sejak peringkat awal lagi bukanlah calang-calang pencabar.
“Kita kena fokus kepada strategi kerana setiap pertemuan pasti berlangsung sengit, kita cuba berikan yang terbaik dalam setiap permainan,” katanya.
Mengulas pula mengenai gelanggang, pemain berusia 26 tahun itu berkata, angin memang terasa bertiup kencang di dalam gelanggang, lebih kuat berbanding hari Selasa, tetapi, sebagai pemain dia perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
Mara ke suku akhir pada Terbuka Malaysia bukanlah kali pertama berjaya dilakukan Tang Jie-Ee Wei kerana, dua tahun lalu, mereka turut mara ke peringkat sama dalam penampilan sulung di kejohanan berstatus Super 1,000 itu.
Cuma perbezaan kehadiran mereka kali ini, Tang Jie-Ee Wei bukan lagi beregu yang baharu digandingkan dan berbanding tahun lalu, selepas terkandas di pusingan kedua, edisi 2025 mereka kelihatan lebih yakin serta matang.
Faktor tersebut diharap mampu membawa gandingan negara itu melangkah lebih jauh dan jika berjaya melepasi halangan suku akhir, Tang Jie-Ee Wei mungkin berdepan pilihan pertama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di peringkat empat terbaik.-UTUSAN