WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menghentikan keinginannya agar AS memperoleh Greenland dan Terusan Panama.
Beliau berkata, kedua-duanya adalah kritikal untuk keselamatan AS.
Ketika ditanya sama ada beliau akan menolak penggunaan kekuatan ketenteraan atau ekonomi untuk mengambil alih wilayah autonomi Denmark atau Terusan Panama, jawabnya: “Tidak, saya tidak boleh memberi jaminan tentang kedua-duanya.”
“Namun, saya boleh katakan, kita memerlukannya untuk keselamatan ekonomi,” katanya semasa sidang akhbar di estet Mar-a-Lago di Florida.
Trump berikrar untuk menggunakan ‘kuasa ekonomi’ apabila ditanya sama ada beliau akan cuba menguasai Kanada, dan menyifatkan sempadan yang dikongsi itu sebagai ‘garisan yang dilukis secara tiruan’.
Sempadan tersebut adalah yang terpanjang di dunia antara dua negara dan ditetapkan melalui perjanjian yang bermula sejak penubuhan AS pada akhir tahun 1700-an.
Trump berkata, AS membelanjakan berbilion dolar untuk melindungi Kanada dan mengkritik import kereta, kayu balak dan produk tenusu dari Kanada.
“Mereka sepatutnya menjadi sebuah negeri,” katanya kepada wartawan.
Denmark dan Panama menolak sebarang cadangan untuk kedua-dua negara itu menyerahkan wilayah tersebut.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, tidak wujud ‘sedikit pun peluang’ untuk kedua-dua negara bergabung.
Greenland terletak di laluan terpendek dari Amerika Utara ke Eropah dan menjadi lokasi sebuah kemudahan angkasa besar milik Amerika.
Pulau ini juga memiliki beberapa deposit mineral nadir bumi terbesar di dunia, yang penting untuk pembuatan bateri dan peranti teknologi tinggi.
Trump mencadangkan pulau itu adalah penting untuk usaha ketenteraan dalam mengesan kapal-kapal China dan Russia, yang dikatakan berada di ‘merata-rata tempat’. -BBC