Trump mahu 'penuhkan' semula penjara Guantanamo

Trump mahu ‘penuhkan’ semula penjara Guantanamo

KAWASAN Kawalan Keselamatan Maksimum Kem Delta 06 di pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau merancang untuk menahan 30,000 pendatang haram yang melakukan jenayah di penjara tentera Teluk Guantanamo, lokasi yang terkenal sebagai tempat tahanan suspek keganasan.

Trump membuat pengumuman mengejutkan itu ketika menandatangani rang undang-undang (RUU) yang membenarkan penahanan praperbicaraan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didakwa atas tuduhan mencuri dan jenayah kekerasan.

ANGGAP PENDATANG ANCAMAN BESAR

Undang-undang itu dibuat berikutan kes pelajar AS yang dibunuh oleh pendatang dari Venezuela.

“Saya sudah menandatangani perintah eksekutif mengarahkan Pentagon dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk mula menyediakan kemudahan bagi menempatkan 30,000 tahanan pendatang asing di Teluk Guantanamo.

“Kami mempunyai 30,000 katil di Guantanamo untuk menahan penjenayah pendatang haram yang mengancam rakyat AS.

“Sesetengah daripada mereka sangat teruk sehingga kami tidak mempercayai negara asal untuk menahan mereka, kerana jelas kami tidak mahu mereka kembali,” kata Trump di Rumah Putih.

Pemimpin Republikan itu berkata, langkah tersebut akan menggandakan serta-merta kapasiti AS untuk menahan pendatang haram, di tengah-tengah tindakan tegas yang dijanjikannya pada permulaan penggal keduanya.

Menggelar Guantanamo sebagai tempat yang sukar untuk meloloskan diri, Trump berkata, langkah-langkah yang diumumkan semalam akan membawa AS selangkah lebih dekat bagi membasmi bencana jenayah migran dalam komuniti untuk selama-lamanya.

Trump dilaporkan turut menjemput ibu bapa Laken Riley, pelajar kejururawatan AS berusia 22 tahun yang dibunuh dan namanya tertera dalam RUU jenayah pendatang baharu itu, ke Rumah Putih untuk majlis menandatangan dokumen perundangan tersebut.

“Kami akan mengenang Laken dalam hati dan ingatan kami selama-lamanya.

“Dengan tindakan hari ini, namanya juga akan kekal selama-lamanya dalam undang-undang negara kita dan ini adalah undang-undang yang sangat penting,” tambahnya.

Ia adalah RUU pertama yang ditandatangani Trump sejak kembali ke Rumah Putih dan diluluskan oleh Kongres AS pimpinan Republikan hanya dua hari selepas pelantikan beliau pada 20 Januari.

Jose Antonio Ibarra, 26, warga Venezuela tanpa dokumen sah, disabitkan bersalah membunuh Riley pada 2024 selepas hilang ketika melakukan senaman pagi berhampiran Universiti Georgia di Athens.

RAMAIKAN KEMBALI TAHANAN GUANTANAMO

Tetapi pengumuman yang mengaitkan kematian Riley dengan usaha ‘meramaikan’ kembali tahanan di penjara tentera Guantanamo mencuri tumpuan dunia.

Penjara itu dibuka selepas serangan pada 11 September 2001 ke atas bangunan Pusat Daga­ngan Dunia (WTC) di New York, didalangi militan Al-Qaeda yang me­ngorbankan lebih 3,000 nyawa.

Penjara itu telah digunakan untuk menahan banduan dalam tempoh panjang, yang kebanyakannya tidak pernah didakwa melakukan jenayah, ditawan semasa peperangan di Afghanistan dan Iraq serta operasi lain.

Pada awal pembukaan penjara berkenaan, kira-kira 800 individu dipenjarakan di kemudahan yang terletak di hujung timur Cuba itu.

Laporan daripada bekas tahanan mengenai penderaan dan penyeksaan oleh pegawai keselamatan AS di penjara tersebut mencetuskan kecaman berterusan pada peringkat domestik serta antarabangsa.

Semalam, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, menyifatkan rancangan Trump sebagai satu tindakan kejam, menegaskan AS menggunakan kemudahan itu untuk melakukan penyeksaan dan penahanan secara haram.

Bekas Presiden AS daripada Demokrat, Joe Biden dan Barack Obama, pernah berjanji untuk menutup penjara berkenaan, namun kedua-duanya meninggalkan jawatan dengan kemudahan itu masih beroperasi. 

Ketika pentadbiran Biden, seramai 40 banduan ditahan di penjara tersebut namun beberapa banduan sudah dibebaskan termasuk dua dari Malaysia yang ditahan berikutan tragedi pengeboman di Bali.

Dalam langkah dramatik untuk mengurangkan populasi di penjara tersebut menjelang bulan-bulan terakhir pentadbirannya, Biden turut memindahkan 11 tahanan Yemen ke Oman, selepas negara itu bersetuju untuk membantu menempatkan mereka semula dan menyediakan pemantauan keselamatan.

Pembebasan mereka meninggalkan hanya 15 banduan di Guantanamo kini.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya