Trump kerah 1,500 tentera ke sempadan AS di Mexico

Trump kerah 1,500 tentera ke sempadan AS di Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk menghantar kira-kira 1,500 tentera aktif tambahan ke sempadan dengan Mexico, hanya dua hari selepas Presiden, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif mengenai migran.

Pasukan tambahan itu akan menyertai kira-kira 2,200 anggota bertugas aktif dan beribu-ribu tentera Pengawal Kebangsaan yang sudah berada di sempadan.

Semasa penggal pertamanya, Trump dari Republikan mengarahkan 5,200 tentera untuk membantu mengamankan sempadan dengan Mexico. 

Bekas Presiden Demokrat,Joe Biden turut mengerahkan tentera bertugas aktif ke sempadan.

Seorang pegawai berkata, arahan terbaharu itu berkemungkinan gelombang pertama kerahan tentera yang dihantar ke sempadan dan bilangannya dijangka meningkat.

Pegawai itu menambah, pesawat tentera AS juga boleh digunakan untuk menghantar pulang pendatang, tetapi ia masih belum diluluskan.

Trump pada hari pertama memegang jawatan mengisytiharkan pendatang haram sebagai kecemasan negara, menugaskan tentera membantu keselamatan sempadan, mengeluarkan larangan meluas ke atas suaka dan mengambil langkah untuk menyekat kewarganegaraan bagi bayi warga asing yang dilahirkan di AS.

Perintah eksekutifnya pada 20 Januari lalu mengarahkan Pentagon menghantar seberapa banyak tentera yang diperlukan untuk mendapatkan kawalan operasi sepenuhnya di sempadan selatan AS.

“Dalam tempoh 90 hari, ketua jabatan pertahanan dan keselamatan tanah air perlu mengesyorkan sama ada tindakan tambahan, termasuk menggunakan Akta Pemberontakan 1807, mungkin perlu dilakukan” katanya.

Akta Pemberontakan 1807 membenarkan Presiden AS mengerahkan tentera untuk menyekat pemberontakan domestik dan telah digunakan pada masa lalu untuk memadamkan pergolakan awam.

Trump menawan semula Rumah Putih selepas berjanji untuk memperhebatkan keselamatan sempadan dan menghantar pulang sejumlah besar pendatang. 

Beliau mengkritik Biden kerana tahap pendatang haram yang tinggi, walaupun bilangan pendatang yang ditangkap menyeberang secara haram sudah mula menurun secara mendadak selepas bekas Presiden itu memperkukuhkan dasarnya tahun lalu dan Mexico meningkatkan penguatkuasaan.

Pengawal Pantai yang ditugaskan melindungi keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang, pada Selasa memaklumkan akan segera meningkatan jumlah tentera dan kapal ke beberapa kawasan, termasuk sempadan tenggara berhampiran Florida.

Tindakan itu dilakukan bagi menghalang dan menyekat penghijrahan besar-besaran maritim dari Haiti dan Cuba.

Ia berkata, satu lagi kawasan penting ialah sempadan maritim antara Texas dan Mexico di ‘Teluk Amerika’.

Trump dalam ucapannya turut menegaskan beliau mahu menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya