PETALING JAYA: Ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan pemainnya walaupun melakar kemenangan besar 7-3 terhadap TNB Thunderbolts dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM), kelmarin.
Saiful berkata walaupun berjaya menewaskan lawan dengan jumlah jaringan yang besar namun bekas jurulatih skuad remaja negara itu tidak melihat kemenangan tersebut seperti kebiasaan yang dilakukan pemainnya seperti sebelum ini.
“Pemain menunjukkan aksi positif berbanding perlawanan pertama (menentang Pasukan Hoki Terengganu) namun saya berasa tidak puas hati sebab pemain tidak dapat memberikan persembahan seperti yang diharapkan.
“Perkara ini berlaku kerana hampir semua pemain kebangsaan yang ada dalam pasukan ini tidak cergas sepenuhnya.
“Ini kerana mereka baharu sahaja menjalani latihan kecergasan bersama skuad kebangsaan jadi keadaan fizikal mereka tidak sesuai untuk beraksi dalam pertandingan kerana pergerakan mereka tidak tajam dan mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Saingan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan TNB Thunderbolts di depan seawal minit pertama menerusi Fahmi Khalid sebelum mendapat dua lagi gol hasil jaringan Nabil Irfan Mohd Yusof pada minit ke-21 dan Atif Aqil Zubir pada minit ke-52.
TNB bangkit dengan jaringan Amirul Hamizan Azahar pada minit kelapan, Jang Jong Hyun minit ke-23, Nursyahmi Zulkifli minit ke-53 dan empat gol daripada Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-12, ke-57, ke-58 dan ke-59.
TNB dijadual menentang kelab dari China, Liaoning Hockey Team esok di venue yang sama.- UTUSAN