KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien tersingkir seawal pusingan pertama selepas tumpas kepada Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Tien Ci-Chiew Sien yang menghuni ranking ke-33 dunia itu tunduk straight set 12-21, 13-21 kepada beregu No. 8 dunia dalam masa 34 minit.
Kedua-dua beregu tersebut belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa dan kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan kini berpihak kepada Dejan-Gloria 1-0.
Cabaran Malaysia dalam saingan beregu campuran akan diteruskan oleh gandingan No. 5 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pasangan No. 6 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.
Selain dua beregu itu, gandingan ke-20 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Sun Yin bakal melakukan penampilan sulung pada Terbuka Malaysia dan beregu veteran No. 19 dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mengibarkan cabaran negara. – UTUSAN