Tiada laporan buli siber pelajar sekolah Melaka - Utusan Malaysia

Tiada laporan buli siber pelajar sekolah Melaka

Kalsom Noordin (baris dua, tengah) bergambar kenangan bersama murid sempena Program Kembali Ke Sekolah: Kekal Selamat Di Dunia Siber di SK Peringgit, Melaka.-UTUSAN/AMRAN MULUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian buli siber dalam talian terhadap pelajar sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, kejadian itu mungkin berlaku namun ia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa terutama kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, kejadian buli siber kini menjadi isu nasional yang merunsingkan buat ibu bapa dan pemimpin masyarakat kerana ia merupakan fenomena semakin menakutkan.

Beliau berkata, masyarakat tidak boleh menidakkan perkara itu yang sebenarnya berlaku tetapi tidak dilaporkan secara menyeluruh.

“Di Melaka setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan berhubungan kejadian tersebut. Mungkin ada berlaku tetapi ibu bapa tidak melaporkan kepada pihak berwajib.

“Kita lihat 80 peratus kanak-kanak sekolah memiliki telefon bimbit dan mereka amat terdedah kepada dunia alam siber tanpa sempadan dan golongan ini amat terdedah serta mudah terpengaruh.

“Justeru saya minta ibu bapa agar lebih cakna untuk memantau anak-anak mereka kerana bahaya besar menanti kanak-kanak sekolah di alam siber ini,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah: Kekal Selamat Di Dunia Siber di Sekolah Kebangsaan (SK) Peringgit di sini semalam.

Seramai 400 murid-murid menyertai program anjuran pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lendu, Alor Gajah.

Mengulas lanjut Kalsom berkata, program tersebut amat penting buat kanak-kanak sekolah berikutan pendedahan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menyatakan lebih daripada tiga kanak-kanak di 30 negara berdepan masalah buli siber sehingga satu daripada lima ponteng sekolah.

Selain itu katanya, satu kajian dijalankan agensi Melwater pada 2023 mendapati golongan mudah secara purata menghabiskan masa melayari media sosial selama dua jam 47 minit setiap hari, melebihi angka purata global dua jam 31 minit.

“Berdasarkan laporan tersebut saya telah meminta pihak penganjur yang pada mulanya ingin menganjurkan Program Kembali Ke Sekolah tetapi menyelitkan mengenai bahaya besar yang menanti kanak-kanak di alam siber,” ujarnya.

Menurutnya, kanak-kanak sekolah paling mudah terpengaruh dengan alam siber serta terdedah kepada risiko bahaya apabila semakin bergerak ke arah perhubungan dalam talian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya