LA QUINTA: Justin Thomas bertekad untuk melangkah lebih jauh di musim PGA Tour 2025 dengan sasaran utama memecah kemarau kemenangan sejak 2022.
Pemain golf nombor 21 dunia itu menyatakan tekadnya untuk meraih kemenangan pertama dalam dua tahun di kejohanan The American Express yang bermula Khamis di La Quinta, California, Amerika Syarikat (AS).
Thomas yang mempunyai 15 gelaran Tour sebelum ini, hampir menamatkan kemarau tersebut pada penghujung musim lalu dengan dua keputusan tiga teratas, termasuk catatan memberangsangkan di La Quinta tahun lepas.
Pemain berusia 31 tahun itu menyifatkan padang La Quinta sebagai ‘boleh dicabar’, dengan peluang besar untuk mencatat birdie di setiap lubang jika strategi dan kesabaran diterapkan.
“Saya ingin menang, menang, dan menang lagi. Saya perlu agresif, letak bola di fairway, gunakan banyak iron pendek, dan manfaatkan keadaan hijau yang baik.
“Saya memang bermain dengan baik tahun lalu, tetapi ia adalah musim tanpa sebarang kejuaraan. Saya tidak mahu katakan tidak boleh diterima, tetapi ia bukan perkara kegemaran saya.
“Saya hanya perlu terus berusaha dan fokus pada apa yang sedang saya kerjakan,” kata Thomas.
Walaupun venue tersebut telah menjalani renovasi yang mungkin menyukarkan bahagian putting, Thomas percaya dirinya mampu beradaptasi dengan baik berdasarkan prestasi solidnya di lokasi sama tahun lalu. – AGENSI