MATAMOROS: Tentera Mexico menubuhkan pusat perlindungan kecemasan berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS) menjelang ancaman pengusiran besar-besaran pendatang oleh Presiden AS, Donald Trump.
Kerajaan Mexico berkata, pihaknya merancang membuka sembilan tempat perlindungan untuk warganya dan tiga lagi untuk warga asing yang dihantar pulang tanpa menjelaskan jumlah kapasiti di bawah skim ‘Mexico membantu anda’.
Presiden, Claudia Sheinbaum berkata, Mexico akan memberikan bantuan kemanusiaan kepada pendatang dari negara lain yang diusir sebelum membantu menghantar mereka pulang.
Semalam, beliau berkata, dua daripada pusat penerimaan sudah tersedia sementara yang lain akan siap, hujung minggu ini.
Kemudahan itu akan dilengkapi dapur dan bilik mandi selain menawarkan makanan, perkhidmatan kesihatan serta kaunseling.
Di bandar timur laut Matamoros, di seberang sempadan dari Brownsville, Texas, anggota tentera laut dilihat mendirikan tempat perlindungan di padang sukan yang besar.
Kemudahan itu termasuk khemah hijau untuk anggota tentera yang akan menjaga keselamatan serta struktur logam bagi menempatkan khemah untuk orang yang dihantar pulang.
Tempat perlindungan Matamoros dengan satu daripada tiga sudah dibina di negeri Tamaulipas akan dapat menampung kira-kira 3,000 orang, menurut pihak berkuasa perbandaran.
“Kami menjangka menerima 200 hingga 250 orang sehari,” kata Datuk Bandar, Alberto Granados di tebing sungai Rio Grande yang melingkar di sepanjang sempadan.
Minggu lalu, bandar sempadan Mexico, Tijuana di selatan California mengisytiharkan darurat untuk membebaskan dana bagi menangani kemungkinan kedatangan pendatang yang dihantar pulang.
Datuk Bandar Reynosa, Carlos Pena di seberang sempadan dari Texas memberi amaran minggu ini, tiada ruang yang mencukupi di tempat perlindungan dan keadaan boleh menjadi kritikal.
Pada hari pertama kembali ke Rumah Putih Isnin lalu, Trump mengisytiharkan darurat negara di sempadan selatan AS dan berikrar untuk mengusir berjuta-juta pendatang.
Pentadbirannya mengumumkan akan mengembalikan semula dasar yang diguna pakai semasa penggal pertama Trump.
Jelasnya, individu yang memohon untuk memasuki AS dari Mexico mesti kekal berada di negara itu sehingga permohonan mereka diputuskan.
Rumah Putih juga menghentikan program suaka untuk mereka yang melarikan diri dari rejim autoritarian di Amerika Tengah dan Selatan, menyebabkan beribu-ribu orang terkandas di sempadan Mexico.-AFP