BAMAKO : Tentera Mali mengesahkan penahanan dua individu, termasuk seorang pemimpin kanan kumpulan Daesh cawangan Sahel, dalam satu operasi di utara negara itu.
Menurut kenyataan tentera, beberapa anggota kumpulan militan itu turut berjaya ditumpaskan dalam operasi tersebut.
Mereka yang ditahan dikenal pasti sebagai Mahamad Ould Erkehile, yang turut dikenali dengan nama Abu Rakia dan Abu Hash, yang didakwa merupakan tokoh penting dalam kumpulan tersebut.
“Abu Hash didakwa bertanggungjawab menyelaraskan kekejaman terhadap penduduk di wilayah Menaka dan Gao di timur laut negara ini serta melancarkan serangan ke atas tentera Mali,” kata kenyataan tersebut.
Sejak 2012, Mali berdepan pergolakan yang berpunca daripada serangan kumpulan militan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Daesh, selain kumpulan jenayah tempatan.
Kerajaan tentera Mali sebelum ini memutuskan hubungan dengan bekas kuasa penjajah, Perancis dan kini beralih kepada kerjasama ketenteraan dan politik bersama Rusia.-AGENSI