NEW DELHI: Tentera India membunuh sekurang-kurangnya lima gerila Maois dalam usaha terbaharu untuk menumpaskan pemberontakan yang berlaku selama beberapa dekad.
Lebih 10,000 orang terkorban dalam pemberontakan dipimpin puak pemberontak, yang mendakwa berjuang untuk hak masyarakat pribumi terpinggir di wilayah kaya dengan sumber semula jadi di tengah India.
Ketua Polis, P. Sunderraj berkata, pasukan keselamatan menemukan lima mayat Maois, yang menggambarkan pertempuran di hutan tebal daerah Bijapur di negeri Chhattisgarh.
Beliau berkata, pihaknya merampas senjata daripada mayat pemberontak, tiga lelaki dan dua wanita, termasuk pelancar bom serta senapang.
Dalam kejadian berasingan, dua anggota polis cedera selepas periuk api buatan sendiri meletup di daerah Bijapur.
Tentera Kerajaan meningkatkan usaha untuk menumpaskan konflik gerila yang berlangsung selama beberapa dekad, dengan 287 pemberontak dibunuh pada 2024, menurut angka rasmi.
Pemberontak, yang juga dikenali sebagai Naxalite selepas bermulanya kempen bersenjata mereka di daerah Naxalbari pada 1967, diilhamkan oleh pemimpin revolusi China, Mao Zedong.
Kira-kira 1,000 orang yang disyaki Naxalite ditangkap dan 837 menyerah diri tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah berulang kali menetapkan tarikh akhir pada Mac 2026 untuk menumpaskan Maois.– AFP