Taufan Herminia landa selatan Britain - Utusan Malaysia

Taufan Herminia landa selatan Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Taufan Herminia membawa angin kencang dan hujan lebat ke kebanyakan kawasan di Wales dan selatan Britain, dengan satu insiden besar diisytiharkan di Somerset.

Lebih 100 orang dipindahkan dari beberapa kawasan di barat daya England selepas berlaku banjir pada waktu pagi Isnin, serta gangguan bekalan elektrik di seluruh wilayah tersebut.

Hujan lebat dan ribut petir dijangka berterusan di seluruh Britain sehingga hari ini, dengan amaran cuaca kuning dikeluarkan sehingga waktu itu.

Menurut Jabatan Meteorologi Britain (Met Office), Herminia yang pertama kali dikesan di Sepanyol dan Perancis, membawa kemungkinan kerosakan dan gangguan, hanya beberapa hari selepas Taufan Éowyn menyebabkan dua kematian akibat serangannya di UK dan Ireland.

Satu amaran cuaca kuning telah dikeluarkan di seluruh Inggeris Selatan sehingga pukul 10:00 pagi pada Selasa, sementara satu lagi amaran dikeluarkan untuk barat daya Wales sehingga pukul 9.00 malam waktu tempatan.

Ramalan cuaca memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir, termasuk banjir kilat yang cepat disebabkan ribut petir.

Majlis Perbandaran Somerset telah mengisytiharkan insiden besar pada Isnin, selepas hujan lebat dan banjir terus menyebabkan gangguan.

Lebih 100 orang dipindahkan dari beberapa kawasan seperti Chard, Ilminster, Somerton dan South Petherton kerana kebimbangan banjir yang semakin meningkat.

Pusat rehat kecemasan telah dibuka dan beberapa jalan, sekolah dan sekurang-kurangnya sebuah kedai ditutup, manakala tahap air sungai di seluruh Somerset kekal tinggi pada petang Isnin, dan beberapa amaran banjir serta pemberitahuan dikeluarkan.

Amaran cuaca kuning oleh Met Office untuk ribut angin turut dikeluarkan di seluruh Inggeris Selatan dan kebanyakan wilayah Wales sehingga pukul 6.00 waktu tempatan, hari ini.

Angin dijangka mencapai 70mph atau lebih di kawasan pesisir yang terdedah, manakala kawasan pedalaman dijangka mengalami angin setinggi 50mph dan berpotensi menyebabkan kerosakan pada bangunan, seperti jubin yang tercabut dari bumbung serta gangguan pada pengangkutan.

Herminia tidak cukup kuat untuk digelar taufan oleh Met Office di Britain berbanding Taufan Éowyn yang jauh lebih kuat, yang meninggalkan jejak kemusnahan dan gangguan selepas menyebabkan beberapa amaran cuaca merah yang jarang berlaku.

Met Office menyatakan Éowyn adalah ‘taufan yang mungkin paling kuat’ yang melanda UK dalam tempoh 10 tahun. -BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya