PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengetuai barisan wakil Malaysia ke suku akhir Indonesia Masters 2025 di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Turun selaku pilihan pertama, Tang Jie-Ee Wei tidak mempunyai masalah untuk menumpaskan pasangan tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu 24-22, 21-14.
Bagaimanapun, pasangan negara akan berdepan cabaran besar apabila dijadualkan bertemu juara Terbuka Malaysia 2025, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand di aksi suku akhir, esok.

Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin meneruskan rentak cemerlang selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, 18-21, 21-15, 21-19.
Pasangan No. 18 dunia itu akan mengaturkan pertemuan dengan gandingan tuan rumah, Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati pada aksi suku akhir, esok.

Sementara itu, pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai melengkapkan barisan beregu campuran ke suku akhir selepas menundukkan gandingan Indonesia, Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata 21-16, 21-9.
Pasangan suami isteri itu seterusnya dijadualkan bertemu dengan gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Saingan beregu wanita menyaksikan, Pearly Tan-M. Thinaah menepati ramalan apabila mengetepikan pasangan Taiwan, Jheng Yu Chieh-Hu Ling Fang 21-19, 21-16.
Menanti mereka di suku akhir esok adalah juara Terbuka Malaysia 2025, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun.

Sementara itu, bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik nampaknya tidak mempunyai masalah untuk menempah slot lapan terbaik selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Tang Kai Wei, 21-16, 21-16.
Pasangan No. 5 dunia itu akan mengaturkan pertemuan dengan beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho pada aksi suku akhir, esok.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengikuti jejak langkah Aaron-Wooi Yik ke suku akhir selepas mudah mengatasi pasangan kembar Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen, 23-21, 21-15.
Wei Chong-Kai Wun akan berhadapan sama ada rakan senegara, Yap Roy King-Arif Junaidi atau gandingan berpengalaman tuan rumah, Hendra Setiawan-Mohamad Ahsan.

Bagaimanapun, hasrat wakil tunggal perseorangan wanita negara, K. Letshanaa untuk melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh 18-21, 21- 17, 20-22. – UTUSAN