KUALA LUMPUR: Impian untuk menyaksikan pertembungan dua beregu lelaki handalan negara bertembung di final berkecai apabila gandingan No. 3 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dikejutkan oleh pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin tumpas kepada beregu No. 26 dunia itu menerusi kekalahan rubber set 15-21, 21-9, 18-21 dalam masa 52 minit.
Sze Fei ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia dan Izzuddin telah memberikan yang terbaik, tetapi, lawan bermain lebih bagus.
“Permainan tadi memang sukar, gaya permainan kami tidak menjadi, Denmark pula bermain dengan sangat bagus,” kata Sze Fei kepada pemberita selepas tamat perlawanan, hari ini.
Katanya lagi, kekalahan tersebut berada di luar kawalan dan apa yang mampu mereka berikan ialah berusaha bermain sebaik mungkin.
Kekalahan Sze Fei-Izzuddin meninggalkan tanggungjawab berat di bahu Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang hanya akan turun ke gelaggang menentang Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat pada pusingan pertama, esok.
Selain beregu No. 6 dunia itu, cabaran Malaysia turut digalas Arif Junaidi-Yap Roy King (No. 23 dunia), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (No. 24 dunia) dan Nur Mohd Azryn Ayub Azryn-Tan Wee Kiong (No. 32 dunia) yang juga memulakan aksi, esok. – UTUSAN