KUALA LUMPUR: Pelakon, Sophia Albarakbah menjelaskan bukan sengaja mahu memakai baju yang memperlihatkan lurah dada di sebuah acara fesyen baru-baru ini.
Pilihan itu dilakukan Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, bagi menghormati karya pereka fesyen yang telah menaja pakaiannya pada malam tersebut.
“Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa tentang isu penampilan seksi sehinggalah seseorang memberitahu saya. Saya hanya menggayakan baju ditaja.
“Terima kasih kepada semua yang prihatin tentang penampilan saya. Saya akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian,” katanya.
Sophia ditemui pada majlis pelancaran butik Amber yang diadakan di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular ke-35 itu menafikan dakwaan sengaja mencipta kontroversi untuk tujuan publisiti.
“Kita tidak boleh elak daripada kecaman orang, ia bukan sesuatu yang baru malah nanti akan ada lagi orang bercakap tentang saya.
“Saya tahu sebagai seorang figura, kita perlu berdepan dengan kecaman-kecaman ini.
“Saya tidak rasa sengaja cetuskan kontroversi, saya hidup macam biasa sahaja tetapi orang memilih bercakap tentang saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Sophia menjadi wajah rakan strategik butik Amber iaitu sebuah jenama di bawah Usanita Sdn Bhd menumpukan pada produk kecantikan dan fesyen.
Selain Sophia, pelakon Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Nora Danish dan Fattah Amin turut dipilih sebagai wajah rakan strategik Amber. -UTUSAN