PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terus cemerlang apabila mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka India 2025, hari ini.
Beregu No. 4 dunia itu menampilkan aksi meyakinkan dengan menewaskan pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang, yang berada di ranking kesembilan dunia, dengan keputusan 21-11, 21-15 dalam perlawanan suku akhir di Kompleks Sukan Indira Gandhi dalam masa 29 minit.
Kejayaan ini juga menyaksikan pasangan suami isteri itu memperbaiki rekod pertemuan mereka kepada 5-0 ke atas Po Hsuan-Ling Fang.
Selepas turut melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia minggu lalu, Soon Huat-Shevon akan berdepan cabaran getir apabila dijadualkan bertemu pasangan No. 2 dunia dari China, Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin, esok.
Sementara itu, pasangan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, turut mencipta kejutan apabila mara ke separuh akhir sekali gus menjadikan ini penampilan kedua mereka di separuh akhir kejohanan siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), musim ini.
Plihan ketiga itu bangkit cemerlang dalam perlawanan suku akhir selepas ketinggalan 12-6 pada set kedua untuk menundukkan pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat, dengan keputusan 21-16, 21-17 di Stadium Tertutup KD Jadhav, New Delhi.
Pasangan negara yang tewas pada separuh akhir Terbuka Malaysia minggu lalu, bertekad untuk melangkah lebih jauh apabila bertemu pemenang antara pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, atau pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, pada pusingan empat terakhir. – UTUSAN