PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa sokongan Pas terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya sandiwara untuk meraih sokongan orang Melayu.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tidak mustahil satu hari nanti, Pas akan membuang Najib jika bekas Presiden UMNO itu tidak lagi menguntungkan politik parti tersebut.
Dalam coretan dalam Facebook miliknya, Mohamad berkongsikan pengalaman lebih 37 tahunnya bersama Pas sejak 1978 sehinggalah 2015 selepas tersingkir daripada jawatan Timbalan Presiden.
Dakwanya, selama di dalam Pas, beliau didoktrinkan oleh golongan ulama bahawa perbezaan parti itu dengan UMNO bukan setakat berbeza fahaman politik, sebaliknya membabitkan perbezaan pegangan akidah.
“Saya yang begitu cetek dalam pengajian agama telah mempercayai bulat-bulat hujah digunakan oleh ulama Pas ketika mengkafirkan UMNO. Pada waktu itu saya merasakan tiada hujah lain yang boleh mengatasi hujah ulama Pas sehingga hubungan saya dengan ahli keluarga saya yang pro-UMNO menjadi renggang.
“Saya masih ingat, ketika ke Terengganu untuk berceramah atau menghadiri program Pas, saya hanya bersembahyang di Masjid Rusila atau Masjid Batu Enam sahaja kerana bersembahyang di belakang imam yang pro-UMNO adalah tidak sah dan haram hukumnya,” katanya.
Katanya, sepanjang bersama Pas, individu yang akan mendapatkan undian tertinggi adalah dalam kalangan aktivis yang kuat menentang UMNO tanpa mengira latar belakang seperti Dr. Hatta Ramli, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob, Datuk Idris Ahmad, Mazlan Alimin, Khalid Samad, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan beberapa nama lagi.
Bagaimanapun, dakwanya, pada tahun 2013 hingga 2014, terdapat pertemuan sulit antara UMNO dengan kumpulan ulama Pas sehingga berlakunya pertembungan ‘fikrah’ (pandangan) di dalam bekas partinya membabitkan golongan ulama dengan aktivis dan profesional.
“Dalam Muktamar ke-15 Pas, berlaku ‘swing vote’ (peralihan undi) di mana sekumpulan aktivis dan profesional dikalahkan ‘setandan’ oleh ustaz-ustaz Pas yang pro-UMNO.
“Kalah menang dalam pemilihan adalah perkara biasa tetapi belum pernah berlaku penolakan secara berkumpulan seperti Muktamar di Kuala Selangor itu. Pada hari sama juga Pas telah memutuskan hubungan dengan DAP.
“Saya nak sebut di sini, ahli-ahli Amanah atau umat Islam jangan gusar dan jangan rasa gelisah di atas tuduhan Pas sebab tuduhan atau gelaran yang dikeluarkan oleh Pas hanyalah bersifat semasa dan untuk kepentingan politiknya saja,” katanya.
Ulasnya lagi, paling mengejutkan, selepas berpisah dengan Pakatan Rakyat, Pas bersama UMNO menubuhkan Muafakat Nasional (MN) bahkan ada pemimpinnya yang mengatakan hubungan itu anugerah Allah.
“Ertinya selama ini, istilah UMNO itu kafir, sembahyang dua imam dan sebagainya sehingga ada kes dibawa ke mahkamah hanyalah istilah semasa untuk mengaut sokongan politik, bukannya pegangan akidah.
“Justeru ahli Amanah dan umat Islam di negara ini, janganlah terpedaya lagi dengan permainan Pas kerana semua hujah mereka hanya sandiwara dan boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya.-UTUSAN