PETALING JAYA: Skuad boling lelaki kebangsaan mencipta sejarah apabila mengungguli Kejohanan Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2025 buat julung kalinya di Hong Kong, sebentar tadi.
Pasukan negara yang dibarisi oleh Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam mempamerkan balingan mantap untuk mengecewakan Puerto Rico 3-2 pada aksi yang mendebarkan itu.
Terdahulu, skuad lelaki negara mara ke pentas akhir selepas menewaskan Kuwait 3-1 pada perlawanan separuh akhir, pagi tadi.
Sementara itu, nasib berbeza buat skuad wanita negara apabila terpaksa tunduk kepada pasukan Amerika Syarikat (AS) pada aksi final Piala Dunia terbabit.
Malaysia yang dibarisi oleh Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Roslan, Sin Li Jane dan Gillian Lim terpaksa akur dengan kekalahan 2-3 biarpun mempamerkan kebangkitan dramatik pada perlawanan keempat.
Sebelum itu, skuad wanita menumpaskan Macau 3-0 pada aksi separuh akhir, pagi tadi. – UTUSAN