GEORGE TOWN : Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad dilaporkan telah berjaya menyelesaikan pembayaran saman berjumlah RM830,034.75 kepada tiga pemimpin DAP iaitu Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok, semalam.
Pembayaran dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman termasuk faedah itu dibuat dibuat melalui penyerahan cek kepada peguam, Datuk Sankara Narayanan (SN) Nair yang mewakili ketiga-tiga pemimpin tersebut.
Pendedahan itu dibuat oleh peguam kepada Siti Mastura, Yusfarizal Yusoff dalam satu sidang akhbar yang diadakan secara Zoom Meeting bagi menjelaskan perkara berkenaan.
Yusfarizal berkata, meskipun bayaran telah dibuat, namun, pihaknya memohon agar wang itu disimpan ke dalam akaun peguam plaintif sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan selepas ini.
“Anak guam saya telah membuat bayaran ke akaun firma guaman Nair (SN Nair & Partners) dengan syarat, wang itu akan disimpan dalam akaun peguam sehingga selesai rayuan di Mahkamah Rayuan. Jadi, ini adalah persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak,” kata Yusfarizal.
Sankara ketika ditanya mengenai perkara itu kemudian mengesahkan bahawa pihaknya telah cek pembayaran berkenaan termasuk faedah yang bernilai RM830,034.75.
“Walaupun cek itu tertakluk kepada kelulusan (bank), kami yakin ia sah dan klien saya juga berpuas hati. Persetujuan ini akan direkodkan dan kami seterusnya akan mengeluarkan surat aku janji seperti yang dipinta,” kata beliau.
Pada 4 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan bahawa kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan tiga pemimpin DAP terbabit dengan komunis sebagai fitnah yang tidak berjaya dibuktikan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon berkata, selain mengeluarkan kenyataan yang berunsur fitnah, defendan juga gagal memberikan pembelaan terhadap komen yang adil dalam kes tersebut.
Sehubungan itu katanya, ketiga-tiga plaintif iaitu Kit Siang dan anaknya, Guan Eng serta Teresa masing-masing diberikan ganti rugi global berjumlah RM300,000; RM250,000 dan RM200,000 tiap seorang.
Dalam pada itu, difahamkan, pengurusan kes berhubung rayuan kes berkenaan akan didengar semula pada 13 Mac depan susulan permohonan penangguhan pelaksanaan pembayaran tersebut sebelum ini.-UTUSAN