MELBOURNE: Pemain No. 1 dunia, Jannik Sinner mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia dengan kemenangan bergaya 6-3, 7-6(4), 6-3 ke atas Alexander Zverev, semalam.
Kejayaan itu mencipta sejarah baharu buat tenis Itali sekali gus menjadikan Sinner pemain pertama negara itu memenangi tiga gelaran Grand Slam setakat ini.
Sinner kini mengatasi rekod Nicola Pietrangeli, yang pernah merangkul dua gelaran di Roland Garros pada 1959 dan 1960.
Setahun selepas menundukkan Daniil Medvedev dalam lima set untuk gelaran pertamanya, Sinner mempamerkan aksi dominan di final kali ini.
Perlawanan di Rod Laver Arena menyaksikan Sinner mengatasi tekanan dengan tenang, menamatkan cabaran Zverev tanpa drama.
“Ianya satu persembahan yang menakjubkan dari pihak saya. Kemenangan ini berbeza dan sangat bermakna buat saya,” kata Sinner
Bagaimanapun, Sinner masih berdepan bayangan kes doping yang boleh menjejaskan peluangnya di Terbuka Perancis tahun lalu.
Walaupun dibenarkan bermain oleh pihak berkuasa tenis, Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) sedang mengusahakan penggantungan terhadapnya.
Kemenangan itu turut memanjangkan rekod tanpa kalah juara Terbuka AS 2024 itu kepada 21 perlawanan.
“Apabila berada di gelanggang, saya cuba fokus walaupun ia sukar,” tambahnya.
Bagi Zverev, kekalahan ini menjadi tamparan hebat apabila gagal meraih kemenangan dalam tiga final Grand Slam sebelum ini.
Malam malangnya bertambah buruk apabila seorang penonton mengejeknya mengenai tuduhan keganasan rumah tangga yang dihadapinya.
“Sukar untuk berada di sini tanpa menyentuh trofi ini. Saya tidak tahu jika saya akan berjaya menjulang trofi ini suatu hari nanti, tetapi saya akan terus mencuba,” kata pemain Jerman itu. – AGENSI