SINGAPURA : Parlimen Singapura meluluskan undang-undang baharu yang membolehkan pihak polis membekukan akaun bank mangsa penipuan sebagai langkah terakhir untuk mencegah kerugian lebih besar.
Undang-undang itu memberi kuasa kepada polis untuk mengeluarkan perintah sekatan terhadap bank sekiranya mendapati langkah tersebut perlu bagi melindungi mangsa.
Ini termasuk potensi mangsa membuat pindahan wang, mengeluarkan wang dan menyerahkan atau menggunakan kemudahan kredit untuk keuntungan penipu.
Perintah sekatan ini akan berkuat kuasa selama 30 hari dan boleh diperbaharui sehingga lima kali atau ditarik balik sekiranya perlu.
Polis akan menilai beberapa faktor seperti sama ada mangsa sudah membuat pindahan wang atau masih berkomunikasi dengan penipu.
Secara automatik, perintah ini akan dikenakan kepada tujuh bank utama di Singapura iaitu OCBC, DBS, UOB, Maybank, Standard Chartered, Citibank dan HSBC.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling menegaskan kepantasan adalah kunci untuk melindungi mangsa dan meminimumkan kerugian.
Beliau berkata, pihak kementerian turut mempertimbangkan untuk meluaskan perintah sekatan ini kepada platform seperti pertukaran mata wang kripto, syarikat kiriman wang dan penyedia dompet elektronik jika penipu mula menyasarkan platform digital tersebut.
Singapura sebagai hab kewangan terkemuka Asia sering menjadi sasaran penipuan.
Statistik polis menunjukkan sebanyak 26,587 kes penipuan dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama 2024, melibatkan kerugian sebanyak 385.6 juta dolar Singapura (RM1.3 bilion).
Kerugian akibat penipuan pada 2023 pula mencecah 651.8 juta dolar Singapura (RM2.14 bilion) selepas mencatat rekod tertinggi sebanyak 660.7 juta dolar Singapura (RM2.17 bilion) pada 2022.-REUTERS