BALOCHISTAN : Seorang maut dan 35 lagi cedera dalam letupan bom buatan sendiri (IED) di bandar Turbat, wilayah Balochistan, semalam.
Menurut pegawai polis, Roshan Baloch, letupan itu berpunca daripada bom yang dipasang di sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dan diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.
“Lapan daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala selebihnya dilaporkan stabil. Kebanyakan mangsa merupakan anggota tentera,” katanya.
Rakaman insiden menunjukkan beberapa kenderaan sedang bergerak melalui jalan raya sebelum sebuah kereta tiba-tiba meletup dan diselubungi api.
Ketua Menteri Balochistan, Sarfraz Bugti mengecam serangan itu dan menyifatkan pelakunya sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Individu yang sanggup menyasarkan orang awam tidak layak digelar manusia,” ujarnya.
Kumpulan pemisah, Tentera Pembebasan Baloch (BLA) mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut dan mendakwa angka korban lebih tinggi.
Mereka turut menyatakan serangan itu menyasarkan konvoi tentera.
Balochistan merupakan wilayah terbesar di Pakistan tetapi paling kurang penduduk dan merupakan pusat bagi etnik minoriti Baloch yang sering mendakwa dipinggirkan oleh kerajaan.
Wilayah itu menyaksikan pemberontakan berpanjangan dengan beberapa kumpulan pemisah melancarkan serangan, kebanyakannya ke atas pasukan keselamatan dalam usaha mereka menuntut kemerdekaan.-AGENSI