Selangor, P. Pinang cari penyelesaian harga belian padi

Selangor, P. Pinang cari penyelesaian harga belian padi

AMIRUDIN Shari ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Watikah dan Apresiasi Wanita Berdaya Selangor di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, Selangor-UTUSAN/ SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor giat mencari jalan penyelesaian melibatkan harga belian padi rendah yang dihadapi lebih 4,000 pesawah Sungai Besar, Sabak Bernam pada musim menuai kali ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sudah membangkitkan isu tersebut pada mesyuarat Exco baru-baru ini.

“Exco bertanggungjawab, Datuk Izham Hashim sedang meneliti dan mencari jalan penyelesaian isu ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah dan Apresiasi Wanita Berdaya Selangor di sini, semalam.

Menurut Amirudin, beliau mahu isu pembelian ini diselesaikan secara komprehensif kerana tidak mahu mana-mana pihak yang mengalami kerugian.

“Isu ini membabitkan penawaran dan pembelian padi (di antara pesawah dan pemborong padi).

“Mungkin ada isu kualiti hasil padi (yang menyebabkan isu ini berlaku). Kerajaan negeri akan membantu (pihak mana) yang terkesan dalam hal ini,” jelasnya.

Sementara itu, Kerajaan Pulau Pinang turut memberi perhatian terhadap keluhan para pesawah di negeri ini berhubung isu sama.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, perkara itu juga telah mendapat perhatian daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ketika ini.

Beliau berkata, langkah mewujudkan beras campuran antara beras tempatan dan beras import sebagai solusi kepada kehendak para petani termasuk di Pulau Pinang adalah antara inisiatif KPKM bagi menangani isu berkenaan.

Dalam hal ini katanya, kerajaan negeri menyokong penuh usaha kementerian itu untuk menyelesaikan sebarang isu berkaitan padi dan beras demi menjamin pengeluaran sumber makanan nasional terus berada di tahap terbaik.

“Harga RM26 untuk kampit 10 kilogram (kg) beras itu merupakan harga yang dikeluarkan sejak tahun 2008 lagi dan harga ini perlu melalui penstrukturan semula berikutan kos-kos pengeluaran yang meningkat naik dari masa ke masa.

“Namun, kajian terperinci juga perlu dibuat selain mencari alternatif lain supaya tidak membebankan para petani dan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya