MOSCOW: Russia mengumumkan pasukannya berjaya menawan Kurakhove, sebuah hab logistik penting di timur Ukraine.
Perkembangan itu dianggap sebagai kemajuan besar selepas beberapa bulan pasukan Russia memperoleh kemenangan di kawasan tersebut.
Moscow terus memberi tekanan di timur Ukraine, dengan penaklukan bandar Kurakhove memberi kelebihan besar kepada pasukannya, hanya dua minggu sebelum Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memulakan tugas dan berjanji untuk mencapai perjanjian damai.
Kedua-dua pihak berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di medan perang sebelum majlis angkat sumpah Trump pada 20 Januari ini.
Moscow mendakwa Kyiv melancarkan serangan balas di wilayah Russia pada hujung minggu lalu.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di Telegram mendakwa, unit Russia membebaskan sepenuhnya bandar Kurakhove, penempatan terbesar di barat daya Donbas.
Pasukan Ukraine tidak mengesahkan dakwaan tersebut dan hanya menyatakan Russia sedang melakukan operasi serangan di kawasan bandar Kurakhove.
“Langkah sedang dijalankan untuk mengenal pasti dan memusnahkan kumpulan musuh yang cuba menyusup ke formasi tempur kami,” kata tentera.
Kakitangan Am Ukraine mendakwa, pasukannya menangkis 27 serangan di sektor Kurakhove.
Bandar perindustrian Kurakhove, yang sebelum mempunyai populasi sekitar 22,000 orang sebelum konflik, terletak berdekatan dengan takungan air dan menempatkan sebuah stesen janakuasa.
Kementerian Pertahanan Russia mendakwa, pasukan Ukraine menjadikan bandar itu sebagai kawasan berkubu yang kukuh dengan rangkaian kedudukan tembakan dan komunikasi bawah tanah.
Ia menyifatkan bandar itu sebagai ‘hab logistik penting’ dan penaklukannya akan membolehkan pasukan Russia menguasai seluruh wilayah Donetsk dengan lebih pantas.– AFP