WASHINGTON : Robot pakar bedah yang digunakan sejak beberapa dekad lalu untuk membantu doktor menjalankan pembedahan seperti pembuangan pundi hempedu, histerektomi dan rawatan prostat kini mencapai tahap teknologi baharu yang menjanjikan kemajuan luar biasa.
Menurut laporan The Washington Post, pembedahan menggunakan robot sebelum ini lazimnya dikendalikan secara manual oleh doktor menggunakan alat kawalan, seperti permainan video yang memerlukan ketepatan tinggi.
Kaedah ini memberikan kelebihan yang tidak dapat dicapai oleh tangan manusia semata-mata, menjadikan robot sangat berguna dalam bidang perubatan.
Namun, penyelidikan terkini menunjukkan potensi perubahan besar apabila robot ini dilatih menggunakan teknologi generasi baharu, termasuk video prosedur pembedahan, sehingga mampu melaksanakan tugas pembedahan dengan kemahiran setanding doktor manusia.
Prof. Madya Axel Krieger dari Sekolah Kejuruteraan Whiting, Johns Hopkins, yang mengetuai kajian itu, menegaskan matlamat penyelidikan bukanlah menggantikan pakar bedah, tetapi memudahkan tugas mereka.
“Adakah anda mahu pakar bedah yang sudah keletihan kerana anda pesakit terakhir hari itu? Atau robot yang membantu meringankan tugas pakar bedah tersebut?” katanya.
Pasukan penyelidik turut mengembangkan sistem komunikasi yang membolehkan doktor memberi arahan kepada robot seperti bercakap dengan pembantu pembedahan, contohnya, ‘bergerak ke kiri’.
Bagaimanapun, cabaran tetap wujud sebelum teknologi ini digunakan sepenuhnya ke atas pesakit sebenar.
Teknologi robot semakin mendekati ramalan sains fiksyen dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI).
Google, sebagai contoh, menggabungkan teknologi Gemini AI dalam robot bagi memberikan konteks kepada arahan dan keupayaan mengingati tugas sebelumnya.
Awal tahun ini, tokoh teknologi Bill Gates meramalkan robot humanoid akan menjadi kenyataan dan mungkin menjadi rakan sekerja masa depan, manakala Tesla pula menjangka penjualan puluhan bilion robot humanoid Optimus pada masa akan datang.–AGENSI