PETALING JAYA: Kerajaan merangka mekanisme bagi mengimbangi harga getah termasuk melantik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sebagai pembeli tunggal komoditi tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan membentangkan cadangan tersebut kepada Jemaah Menteri sebaik sahaja kertas kerja diterima daripada Ketua Pengarah Risda, Zainal Azni Zulkifli dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd. Khir Razman dalam tempoh dua bulan ini.
“Langkah baharu ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan untuk kita membela nasib pekebun kecil yang terpaksa bergantung kepada harga lantai.
“Maka dalam keadaan ini, biarlah kita yang akan menentukan pasaran, bukan pasaran yang akan menentukan harga kerana kita menghasilkan produk berkenaan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis
Perasmian Konvensyen Pegawai Lapangan Risda, di sini semalam.
Kerajaan sebelum ini mening katkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kaedah itu juga secara tidak langsung dapat memastikan 89 peratus pasaran getah dapat dikuasai pekebun kecil Risda dan hanya 11 peratus dikuasai peladang besar.
“Mungkin kolaborasi juga boleh dilakukan untuk menentukan peningkatan harga pada getah dan secara tidak langsung pengeluaran lateks dapat dipertingkatkan. Ini kerana kita terpaksa mengimport lateks dengan nilai RM6 bilion setahun sedangkan kita adalah pengeluar.
“Oleh yang demikian, langkah baharu ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, negara menyasarkan untuk kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurutnya, sasaran tersebut realistik sekiranya usaha penanaman semula dan inovasi dalam industri getah dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik. – UTUSAN