NILAI: Kejayaan pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom meraih emas dalam acara keirin Siri Tiga Piala Presiden memberi semangat baru untuk menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 pada Februari depan.
Ridwan mencipta kejutan apabila menewaskan seniornya, Muhammad Fadhil Zonis, yang juga pemenang pingat perak keirin Sukan Asia Hangzhou 2022, dalam aksi final di Velodrom Nasional Nilai, kelmarin.
Pelumba berusia 24 tahun itu mengakui kemenangan ini memberikan motivasi baru selepas gagal melangkah ke final pada Siri Satu dan Dua acara keirin.
“Saya sangat teruja untuk bersaing di ACC yang akan berlangsung pada Februari nanti. Kemenangan ini memberikan saya keyakinan yang sangat diperlukan.
“Kemenangan di Piala Presiden ini memberi saya dorongan untuk mengharungi persaingan sengit di ACC, terutamanya dalam acara keirin,” kata Ridwan.
Ridwan, yang berasal dari Muar, Johor, meraih dua emas dalam acara pecut (Siri Satu dan Dua) serta gangsa (Siri Tiga) manakala dalam acara keirin, beliau meraih emas (Siri Tiga).
Ridwan turut memberitahu beliau telah berbincang dengan jurulatih negara, Harnizam Basri, untuk merangka strategi bagi kembali berada di podium selepas kekalahan dalam dua siri terdahulu.
“Selepas meraih emas dalam Piala Presiden, saya yakin saya berada di landasan yang betul untuk mempersiapkan diri dengan lebih baik bagi cabaran di ACC.
“Dengan keyakinan yang diperoleh daripada kejayaan ini, saya berharap dapat menunjukkan prestasi terbaik di ACC nanti,” katanya lagi.
Kejohanan ACC 2025 akan berlangsung pada 21 hingga 27 Februari ini di Velodrom Nasional Nilai.- UTUSAN