Ribut salji landa AS, ancam jutaan penduduk - Utusan Malaysia

Ribut salji landa AS, ancam jutaan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON : Ribut musim sejuk yang dahsyat mula melanda bahagian tengah Amerika Syarikat (AS) dengan jutaan penduduk di bahagian timur negara itu bakal berdepan keadaan ribut salji, ais berbahaya, suhu sejuk melampau dan gangguan perjalanan yang teruk.

Lebih 60 juta penduduk berada dalam laluan ribut ini, yang dijangka membawa udara Artik dan mencengkam bahagian timur negara itu hingga hari ini. 

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran mengenai cuaca buruk, termasuk angin kencang di negeri dari dataran tengah hingga ke Mid-Atlantic.

Amaran ribut salji telah dikeluarkan dari barat Kansas hingga ke negeri-negeri pesisir seperti Maryland, Delaware dan Virginia, melibatkan kawasan seluas 2,400 kilometer.

“Ribut musim sejuk yang mengganggu dijangka melanda Dataran Tengah hingga Mid-Atlantic dengan salji lebat dan lapisan ais yang merosakkan,” menurut laporan terkini NWS.

Ribut besar pertama bagi 2025 ini telah menyebabkan gangguan besar pada perjalanan, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansas City menutup operasi penerbangannya akibat pembentukan ais yang pantas.

Bahagian timur New York dan Pennsylvania dijangka menerima salji tebal dari Tasik Besar, dengan taburan setinggi 61 sentimeter (cm), menurut NWS.

Syarikat ramalan cuaca AccuWeather menyatakan jumlah salji di kawasan tersebut, yang dilitupi salji minggu ini, mungkin mencecah lebih 1.2 meter.

“Taburan salji melebihi 38 cm dari timur laut Kansas hingga utara Missouri adalah yang terberat dalam sedekad,” tambahnya.

Ibu negara AS, Washington, dijangka dilitupi salji setebal lima inci, dengan kemungkinan mencapai 10 inci di kawasan berdekatan.

Dengan pergerakan pantas ribut ke selatan, suhu dijangka jatuh mendadak, mencecah bawah -18 Celsius di sesetengah kawasan, manakala tiupan angin kencang akan meningkatkan bahaya.

Ribut ini dijangka mencetuskan gangguan besar kepada berjuta-juta penduduk Amerika Syarikat dalam beberapa hari mendatang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya