Ribuan sertai demonstrasi bantah parti pelampau kanan Jerman

Ribuan sertai demonstrasi bantah parti pelampau kanan Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIESA : Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di bandar Riesa, Jerman sambil melaungkan slogan ‘Tidak kepada Nazi’ bagi membantah perhimpunan utama parti pelampau kanan, Alternatif untuk Jerman (AfD).

Perhimpunan yang diadakan bagi meluluskan pencalonan Alice Weidel sebagai calon Canselor menjelang pilihan raya tergempar bulan depan itu diadakan di kubu kuat parti tersebut di negeri timur Saxony.

Menurut penganjur, lebih 12,000 orang dari seluruh negara menyertai demonstrasi, namun polis mendakwa jumlahnya hanya sekitar 8,000 orang.

Protes itu menyebabkan mesyuarat melibatkan 600 perwakilan tertangguh selama dua jam selepas polis terpaksa membersihkan sekatan jalan yang dilakukan penunjuk perasaan.

Jurucakap penganjur demonstrasi, Maria Schmidt berkata tindakan mereka adalah demi melindungi hak asasi manusia.

“Hari ini kami mempertahankan hak rakyat untuk hidup dengan selamat tanpa ketakutan terhadap pengusiran atau serangan. Riesa bukan tempat yang aman untuk fasisme,” tegasnya.

Walaupun polis menyatakan tiada kekacauan serius berlaku, penggunaan semburan lada terhadap kumpulan demonstrasi mencetuskan kontroversi.

Di dalam dewan konvensyen, Weidel memuji ahli parti kerana ‘menentang kumpulan kiri yang merusuh,’ sementara pemimpin bersama AfD, Tino Chrupalla menuduh penunjuk perasaan sebagai ‘anti-demokrat dan pengganas’.

Dalam mesyuarat dua hari itu, perwakilan AfD dijangka memuktamadkan manifesto pilihan raya mereka yang mengandungi cadangan kontroversi iaitu kempen besar-besaran untuk mengusir warga asing dari Jerman serta turut menyenaraikan cadangan untuk keluar daripada zon euro dan membatalkan keputusan Jerman meninggalkan tenaga nuklear.

Pilihan raya tergempar pada 23 Februari depan diadakan selepas gabungan kerajaan pimpinan Canselor Olaf Scholz terbubar berikutan pertikaian dalaman mengenai langkah merangsang ekonomi negara. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya