Ribuan penduduk lari dari bandar selatan Sudan - Utusan Malaysia

Ribuan penduduk lari dari bandar selatan Sudan

SEORANG kanak-kanak tidur di atas timbunan barang yang dibawa ketika berpindah ke Sudan Selatan, susulan perang yang tercetus di Sudan pada April 2023.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT SUDAN: Beribu-ribu penduduk meninggalkan sebuah bandar di selatan Sudan sejak pertempuran tercetus minggu lalu, antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa PBB (IOM) berkata, antara 1,000 hingga 3,000 isi rumah dipindahkan dari bandar Um Rawaba di negeri Kordofan Utara di selatan negara dalam tempoh hanya lima hari.

Pertempuran tercetus di kawasan itu minggu lalu, antara tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Pasukan tentera kini mengetuai kemaraan di negeri Al-Jazira di tengah Sudan, kira-kira 300 kilometer ke timur laut.

Kebanyakan penduduk melarikan diri disebabkan oleh kebimbangan keselamatan yang meningkat berikutan pertempuran berterusan di kawasan tersebut, menurut IOM.

Di Kordofan Utara, lebih 205,000 orang kini menjadi pelarian, berdasarkan data terkini PBB yang dikeluarkan minggu lalu.

PBB berkata, seramai 11.5 juta orang secara keseluruhan kini menjadi pelarian dalam negara, termasuk 2.7 juta yang terpaksa berpindah akibat konflik terdahulu, menjadikannya krisis perpindahan terbesar di dunia.

Perang saudara itu juga meragut puluhan ribu nyawa dan menjerumuskan negara ke ambang kebuluran.

Bulan lepas, kajian Semakan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu memaklumkan lima kawasan di barat dan selatan Sudan dilanda kebuluran, yang dijangka merebak ke lima lagi kawasan lain.

Kira-kira 350,000 orang di Kordofan Utara kini mengalami tahap kecemasan kelaparan, yang menurut laporan sebagai peringkat akhir sebelum kebuluran diisytiharkan.

Konflik di Sudan, yang bermula pada pertengahan April 2023, melibatkan pertempuran antara pasukan tentera diketuai Abdel Fattah Al-Burhan dan bekas Timbalannya, Mohamed Hamdan Dagalo, yang mengetuai RSF.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya