SOUTHPORT: Seorang remaja yang membunuh tiga kanak-kanak perempuan dalam sebuah kelas tarian bertema Taylor Swift di United Kingdom tahun lalu, dijatuhkan hukuman penjara 52 tahun oleh mahkamah.
Hakim Julian Goose, dalam keputusan pada Khamis, menyatakan Axel Rudakubana, 18, mempunyai niat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kanak-kanak perempuan yang tidak bersalah.
Bagaimanapun, Hakim Goose tidak dapat menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol kerana Rudakubana masih di bawah umur 18 tahun ketika jenayah itu dilakukan.
Namun, beliau menetapkan Rudakubana perlu menjalani hukuman penjara minimum selama 52 tahun sebelum layak dipertimbangkan untuk parol dan menegaskan ‘kemungkinan besar tertuduh tidak akan pernah dibebaskan’.
Rudakubana, ketika berusia 17 tahun, menyerang kanak-kanak di bandar pantai Southport pada Julai tahun lalu.
Tiga kanak-kanak perempuan yang terkorban itu ialah Bebe King, 6, Elsie Dot Stancombe, 7, dan Alice da Silva Aguiar, 9.
Selain itu, lapan kanak-kanak lain serta dua orang dewasa turut cedera dalam serangan tersebut.
Pada Isnin lalu, Rudakubana mengaku bersalah atas tuduhan membunuh dan 10 tuduhan cubaan membunuh serta mampu menghasilkan racun maut.
Pendakwa raya menjelaskan Rudakubana tidak mempunyai motif politik atau keagamaan, tetapi memiliki ‘obsesi lama terhadap keganasan, pembunuhan, dan genosid’.
Selepas serangan itu, laporan tidak tepat di media sosial mendakwa Rudakubana sebagai pencari suaka yang baru tiba di Britain sehingga mencetuskan rusuhan anti-migran, dengan pertembungan antara aktivis berhaluan kanan dan pihak polis di jalan-jalan utama di seluruh negara serta turut menyasarkan golongan minoriti dan komuniti Muslim.
Rudakubana, yang dilahirkan di Cardiff, Wales, merupakan anak kepada pasangan Kristian dari Rwanda dan siasatan setakat ini gagal mengenal pasti punca sebenar jenayah kejam yang dilakukannya.
Dalam beberapa tahun sebelum serangan, Rudakubana telah dilaporkan kepada pelbagai pihak berkuasa kerana minatnya terhadap keganasan dan kelakuan yang mencurigakan. -AGENSI