LONDON : Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas ditikam di dalam bas dua tingkat di Woolwich, London, semalam.
Kejadian yang berlaku pada waktu siang itu sekali lagi mengundang perhatian terhadap isu jenayah melibatkan senjata tajam di ibu negara Britain.
Menurut polis, mangsa menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian akibat kecederaan tikaman, namun disahkan meninggal dunia sejurus itu.
Tiada tangkapan dilaporkan setakat ini.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyifatkan jenayah melibatkan senjata tajam sebagai ‘krisis nasional’.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan turut melahirkan rasa dukacita dalam laman X berkaitan insiden tersebut.
“Hati saya bersama keluarga, rakan-rakan dan komuniti Greenwich susulan insiden tikaman tragis ini,” katanya.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa bulan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun cedera parah akibat ditikam di kawasan sibuk Leicester Square, London, pada Ogos lalu.
Polis telah mendakwa tiga lelaki muda berhubung kes tersebut, yang digambarkan pendakwa sebagai ‘keganasan balas dendam’.
Data Pejabat Statistik Kebangsaan Britain yang dikeluarkan Oktober lalu, menunjukkan peningkatan jenayah melibatkan pisau sebanyak empat peratus di England dan Wales dalam tempoh 12 bulan sehingga Jun, berbanding tahun sebelumnya.
Kerajaan Parti Buruh yang mengambil alih pentadbiran sejak Julai lalu, berikrar untuk mengurangkan jenayah pisau sebanyak separuh dalam tempoh sedekad.
Langkah baharu melarang penggunaan pisau tertentu dan parang berkuat kuasa pada September lalu, dengan usaha kini tertumpu kepada pengharaman pedang ninja.-AGENSI