Ratusan aktivis iklim ditahan polis ketika protes di Belanda

Ratusan aktivis iklim ditahan polis ketika protes di Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Polis Belanda menahan ratusan aktivis iklim selepas himpunan itu menghalang lebuh raya utama ke bandar ini selama beberapa jam.

Protes yang dianjurkan oleh kumpulan Extinction Rebellion (XR), merupakan sebahagian daripada siri demonstrasi sebelum ini bagi menentang subsidi bahan api fosil Belanda serta meningkatkan kesedaran terhadap kesan perubahan iklim.

Menurut kenyataan Polis The Hague di platform X, seramai 700 orang aktivis ditahan dalam protes di Lebuh Raya A12 itu.

“Tindakan ini menyebabkan kesesakan trafik dan melambatkan perjalanan perkhidmatan kecemasan seperti ambulans,” kata pihak polis.

Lokasi protes dikawal ketat dengan kehadiran polis yang bertugas dilihat berjalan kaki, berkuda serta penggunaan dron.

Protes bermula sekitar waktu tengah hari pada Sabtu, apabila ratusan peserta berjalan ke lebuh raya tersebut walaupun pihak berkuasa telah cuba menghalang beberapa aktivis lain, lapor wartawan AFP.

Para peserta mengabaikan arahan daripada polis dan pihak bandar raya supaya kekal berada di kawasan Malieveld, sebuah kawasan lapang di pusat bandar dan tidak memasuki lebuh raya berdekatan.

Kebanyakan aktivis membawa sepanduk dan plakad yang tertulis mesej seperti ‘Kami percaya pada kehidupan selepas minyak’ sambil mengibarkan bendera XR sebelum bergerak ke jalan raya.

Beberapa jam kemudian, polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan peserta yang duduk di jalan utama sebelum menahan mereka.

Salah seorang peserta, Christian Loncle, 49, berkata ahli politik belum melakukan langkah secukupnya untuk menangani isu perubahan iklim.

“Saya bukan saintis untuk membuat hubungan langsung antara perubahan iklim dan kebakaran, tetapi saya berharap ahli politik mendengar suara kami sebelum rumah mereka sendiri terbakar,” katanya merujuk kepada kebakaran besar yang sedang melanda Los Angeles, California.

Walaupun kebakaran hutan berlaku secara semula jadi, saintis menyatakan perubahan iklim akibat perbuatan manusia telah mengubah corak cuaca dan dinamik kebakaran tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya