KABUL: Ramai penduduk Afghanistan kini hanya mampu bertahan dengan roti dan teh sebagai sumber makanan harian mereka.
Kebimbangan itu disuarakan oleh Ketua Program Makanan Dunia (WFP) di Afghanistan terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu.
Jelasnya, agensi tersebut hanya mampu membantu separuh daripada jutaan penduduk yang memerlukan akibat pemotongan dana bantuan antarabangsa dan pembekuan pembiayaan oleh Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Negara WFP, Hsiao-Wei Lee, mendedahkan kira-kira enam juta penduduk kini hanya makan satu hingga dua hidangan sehari.
“Inilah realiti yang dihadapi mereka selepas tidak lagi menerima bantuan,” katanya kepada Reuters sebelum menamatkan tempoh perkhidmatan tiga tahunnya di Afghanistan, Sabtu lalu.
Afghanistan menghadapi krisis ekonomi kritikal sejak Taliban mengambil alih pemerintahan pada 2021, apabila semua bantuan pembangunan dan keselamatan dibekukan serta sekatan terhadap sektor perbankan turut dikenakan.
Situasi itu menyebabkan bantuan kemanusiaan menjadi sumber utama bagi memenuhi keperluan mendesak penduduk.
Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara penderma mula mengurangkan bantuan, antara lain kerana larangan Taliban terhadap wanita, termasuk arahan yang melarang pekerja wanita di organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk bekerja.
Belum jelas bagaimana hal itu akan memengaruhi operasi kemanusiaan di Afghanistan, yang pada 2024 lebih 40 peratus dibiayai oleh AS, sebagai penderma terbesar.
Keadaan menjadi lebih genting apabila Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan arahan henti kerja pada Jumaat lalu, untuk semua bantuan asing yang sedia ada, selepas Presiden (AS) Donald Trump mengarahkan semakan semula untuk memastikan peruntukan bantuan selaras dengan dasar luar negara itu.
Sekatan Taliban terhadap wanita menjadi salah satu faktor utama pengurangan bantuan antarabangsa.
Bagaimanapun, WFP tetap berusaha untuk menyalurkan bantuan kepada wanita dan kanak-kanak meskipun menghadapi kekangan tersebut.
Taliban sebelum ini mengarahkan pekerja wanita NGO berhenti kerja, tetapi beberapa organisasi kemanusiaan melaporkan mereka diberikan pengecualian, khususnya dalam sektor kesihatan.
Biarpun cabaran semakin besar, WFP menekankan keperluan mendesak untuk memastikan bantuan terus sampai kepada rakyat Afghanistan yang sedang menderita. – AGENSI