Pukul OKU: Berpolitik jangan sampai jatuh fitnah - Ahmad Samsuri - Utusan Malaysia

Pukul OKU: Berpolitik jangan sampai jatuh fitnah – Ahmad Samsuri

AHMAD Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) ketika melawat stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, Terengganu, hari ini. -UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat andaian sendiri dan menimbulkan sebarang fitnah melibatkan kes lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, dekat Kemaman, Jumaat lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insiden itu mendapat perhatian ramai selepas beberapa video mengenainya tular dalam laman sosial.

“Saya minta kepada semua pihak supaya meneliti fakta sebenar dan mengelakkan fitnah (berkenaan kes ini) sebab saya lihat sangat viral (tular), fitnah kiri dan kanan yang sangat tidak berasas.

“Berpolitik, politik juga, tetapi fitnah jangan diamalkan sebab itu tanggungjawab kita dengan tuhan, kalau nak jawab di hadapan tuhan, silakan (buat fitnah),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, semua pihak perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sepenuhnya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengaitkan suspek kes pukul itu dengan beberapa parti di negeri ini hingga menjadi perdebatan warganet.

Dalam perkembangan lain,  Ahmad Samsuri berkata, masalah hakisan dan jalan runtuh di pantai Batu Rakit, Kuala Nerus akan ditangani secepat mungkin sebaik sahaja  kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan itu disambung kembali selepas berakhir musim tengkujuh tidak lama lagi.

“Pembinaan benteng pemecah ombak ketika ini sedang berjalan namun, tergendala seketika disebabkan berlaku fenomena ombak besar yang agak luar biasa.

“Selepas ini, insya-Allah, projek yang sedang berjalan ini dapat diteruskan dan kita akan tangani masalah jalan raya yang tidak dapat dilalui itu secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, beliau telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air,, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung masalah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya