PSM mohon maaf atas insiden kebocoran bumbung Axiata Arena

PSM mohon maaf atas insiden kebocoran bumbung Axiata Arena

KELIHATAN beregu wanita negara (baju merah) Go Pei Kee-Teoh Mei Xing diiringi keluar sewaktu perlawanan menentang gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada hari pertama perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada penganjur dan peminat sukan badminton tanah air berikutan insiden kebocoran bumbung di Axiata Arena yang mengganggu aksi pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, semalam.

Insiden itu berlaku akibat proses penggantian bumbung lama yang bermula sejak pertengahan tahun 2024 dan dijalankan tanpa perlu menutup arena untuk penganjuran acara.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Iliyas Jamil berkata, kebocoran disebabkan air hujan yang menitis ke gelanggang.

“Kerja-kerja segera dilaksanakan untuk mengalirkan air ke tempat lain sejak pukul 4.30 petang, dan gelanggang kembali boleh digunakan pada jam 8 malam, semalam.

“PSM bersama kontraktor turut melaksanakan langkah tambahan pada malam tersebut untuk memastikan masalah tidak berulang sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kami akan menyediakan lebih 10 kakitangan untuk memantau bumbung sepanjang kejohanan dan memastikan tiada insiden serupa berlaku,” kata Iliyas dalam kenyataan terbabit.

KELIHATAN pekerja bertugas cuba mengeringkan gelanggang dua dengan membentangkan kain selepas bumbung Axiata Arena didapati bocor akibat hujan lebat, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

 

Kerjasama erat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor telah diadakan untuk mengenalpasti kawasan bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja pembaikan.

Mesyuarat khas bersama JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember 2024 lalu juga menekankan kepentingan memastikan acara tidak terganggu oleh kerja penukaran bumbung.

JKR dan kontraktor memberi keyakinan bahawa tindakan sewajarnya sedang dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

PSM menegaskan bahawa sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada kebocoran berlaku di kawasan arena kecuali insiden semalam yang dianggap terpencil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya