BOURGOIN JALLIEU: Paris Saint Germain (PSG) hampir dimalukan oleh kelab divisyen lima, Espaly namun diselamatkan menerusi dua gol lewat Bradley Barcola dan Goncalo Ramos bagi kemenangan 4-2, untuk mara ke pusingan 16 Piala Perancis.
Begitupun, nasib malang menimpa Lyon yang tersingkir selepas tewas 2-4 menerusi penentuan penalti kepada pasukan divisyen lima, Bourgoin Jallieu.
Bermain di Stade Marcel Michelin, Espaly mengejutkan PSG dengan gol awal Kevis Gjeci pada minit ketiga tetapi kelab gergasi Perancis itu menyamakan kedudukan menerusi Warren Zaire Emery sebelum Desire Doue meletakkan juara bertahan itu di hadapan pada minit ke-67.
Empat minit kemudian, Maxence Fournel menyamakan kedudukan buat tuan rumah namun PSG memadam semangat Espaly hasil jaringan Barcola dan Ramos pada penghujung babak kedua bagi mengesahkan kemenangan PSG.
“Perlawanan sukar, kami dikejutkan pada awal permainan. Selepas itu kami perlu berusaha keras dan akhirnya berjaya mendapatkan gol.
“Lawan tidak berputus asa dan terus beri tentangan sengit tetapi kami berjaya mengatasi mereka walaupun terlepas banyak peluang,” kata pemain tengah PSG, Desire Doue.
Sementara itu, finalis musim lalu Lyon, gagal mengatasi Bourgoin Jallieu, dengan perlawanan berakhir 2-2 sebelum kalah dalam penentuan penalti 4-2.
Keputusan itu menyaksikan, buat kali pertama pasukan Ligue 1 disingkirkan oleh pasukan divisyen lima sejak Bordeaux pada 2014.
“Kami tidak menunjukkan rasa bangga atau bermaruah. Ia menjadi tragedi untuk kami,” kata jurulatih Lyon, Pierre Sage.
Kemenangan Bourgoin Jallieu diilhamkan oleh Mehdi Moujetzky yang menjaringkan dua gol dalam masa sebenar, dan penjaga gol Ronan Jay menyelamatkan dua penalti dalam penentuan.
Perlawanan lain, pasukan Ligue 2, Troyes, menundukkan Rennes 0-1, sementara Cannes dari divisyen empat menyingkirkan pendahulu Ligue 2, Lorient, dengan kemenangan 2-1.-AGENSI