MEXICO CITY : Presiden Mexico menyindir Donald Trump selepas Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) itu mencadangkan untuk menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.
Semasa sidang akhbar pagi semalam, Claudia Sheinbaum memaparkan peta dunia abad ke-17 yang menunjukkan Amerika Utara dikenali sebagai Amerika Mexico.
“Teluk Mexico adalah nama yang diiktiraf oleh PBB,” katanya sambil mencadangkan agar AS dinamakan semula sebagai Amerika Mexico.
Walau bagaimanapun, Sheinbaum menegaskan Mexico masih berhasrat untuk menjalin hubungan baik dengan Presiden baharu AS itu.
Trump yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS untuk penggal kedua pada 20 Januari ini, berkata, nama ‘Teluk Amerika’ lebih sesuai dan mempunyai nada yang indah.
“Ini adalah tindakan yang tepat. Mexico mesti berhenti membenarkan berjuta-juta orang memasuki negara kita,” katanya.
Trump turut mendakwa Mexico dikuasai oleh kartel dadah, tetapi dakwaan tersebut disangkal keras oleh Sheinbaum.
Dalam tempoh menjelang pelantikannya, Trump sekali lagi mengancam Mexico untuk mengenakan tarif tinggi ke atas barangan import Mexico, salah satu rakan dagangan terbesar AS, jika aliran migran haram dan dadah ke sempadan tidak dihentikan.
Trump juga menghidupkan kembali ancaman dari penggal pertamanya untuk mengklasifikasikan kartel dadah Mexico sebagai kumpulan pengganas, langkah yang pernah mencetuskan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.
Meskipun begitu, kerajaan Mexico dilihat berusaha untuk memastikan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan AS kekal stabil walaupun berdepan retorik kontroversi Trump.-AGENSI