IPOH: Populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jaksoni di Perak dipercayai telah bertambah hasil kempen kesedaran serta operasi membanteras pemburuan haram.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, jumlah spesies itu kini meningkat berbanding 37 ekor yang direkodkan menerusi Survei Harimau Kebangsaan Pertama pada 2016 hingga 2020.
Jelasnya, survei itu adalah tertumpu kepada kawasan Belum-Temenggor di Hulu Perak yang merupakan satu daripada tiga habitat utama Harimau Malaya di Malaysia.
“Apabila kerajaan melaksanakan kempen Selamatkan Harimau Malaya, kami hendak berhentikan penurunan populasi dan hentikan pemburuan, jumlahnya kini telah bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan angka rasmi kerana ia akan diumumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Survei yang dijalankan dari tahun 2016 hingga 2020 mendapati bilangan Harimau Malaya di hutan Malaysia adalah kurang daripada 150 ekor dan spesies itu berada diambang kepupusan jika tidak dilindungi.
Yusoff dalam pada itu berkata, pihaknya menjalankan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras pemburuan haram melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) terutama di kawasan habitat utama.
Selain itu katanya, meskipun kegiatan pemburuan haram tidak seaktif dahulu namun Harimau Malaya masih berdepan ancaman secara semula jadi akibat kekurangan sumber makanan dalam habitat.
Jelasnya sejak beberapa tahun lalu babi di hutan diancam virus yang menyebabkan kematian, sekali gus menjejaskan rantaian makanan Pak Belang.
“Itu menyebabkan harimau keluar dari hutan untuk mencari makanan. Ia menjadi faktor peningkatan konflik antara haiwan liar itu dengan manusia. Banyak aduan mengenai haiwan ternakan diserang atau terjumpa kesan tapak kaki harimau,” katanya.
Katanya di Perak, jumlah aduan konflik bertambah saban tahun iaitu 14 kes pada tahun 2020, 23 (2021), 13 (2022), 180 (2023) dan 131 pada tahun 2024.
Kata Yusoff usaha tangkapan dibuat dengan memasang perangkap namun jelasnya Harimau Malaya sukar untuk diperangkap kerana sifatnya yang berhati-hati.-UTUSAN.