SEOUL : Polis Korea Selatan menyerbu ibu pejabat Jeju Air dan Lapangan Terbang Antarabangsa Muan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap nahas pesawat yang meragut 179 nyawa, Ahad lalu.
Jurucakap Jeju Air memaklumkan pihaknya sedang menyemak situasi terkini.
Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok mengarahkan tindakan segera diambil sekiranya pemeriksaan khas terhadap semua pesawat Boeing 737-800 yang beroperasi di negara itu menemukan sebarang isu, ketika siasatan intensif terhadap tragedi yang berlaku.
Data dari perakam suara kokpit Jeju Air 7C2216 dijangka siap ditukar ke dalam format audio menjelang Jumaat, menurut Choi.
Data ini berpotensi memberikan maklumat kritikal mengenai saat-saat terakhir penerbangan tersebut.
Kesemua 175 penumpang dan empat daripada enam anak kapal maut apabila pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan sebelum melanggar benteng tanah dan konkrit, lalu terbakar.
Dua anak kapal yang berada berhampiran ekor pesawat Boeing 737-800 tersebut terselamat.
“Disebabkan kebimbangan awam terhadap model pesawat yang sama, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan mesti menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas penyelenggaraan operasi, pendidikan, dan latihan,” kata Choi dalam mesyuarat pengurusan bencana.
Perakam data penerbangan pesawat, yang mengalami kerosakan kecil, sedang dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk dianalisis dengan kerjasama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) AS.
Pasukan penyiasat dari NTSB, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) dan pengeluar pesawat Boeing kini berada di Korea Selatan untuk membantu menyiasat tragedi udara terburuk dalam sejarah negara itu. -AGENSI