SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak sempadan pilihan raya, menurut badan pilihan raya negara itu hari ini.
Perkembangan itu sekaligus merupakan satu petunjuk pilihan raya umum di negara itu mungkin diadakan tidak lama lagi.
Singapura biasanya mengadakan pilihan raya dalam tempoh dua bulan selepas jawatankuasa tersebut menerbitkan laporan mengenai semakan itu.
Semakan itu bertujuan menilai sempadan kawasan pilihan raya berdasarkan perubahan populasi, dan laporan susulan digunakan untuk menentukan bilangan calon di setiap kawasan serta jumlah ahli parlimen.
Hab kewangan Asia itu mesti mengadakan pilihan raya umum sebelum November tahun ini, tetapi Perdana Menteri, Lawrence Wong mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diterajui Wong hampir pasti mendominasi pilihan raya dan memenangi sebahagian besar kerusi seperti yang berlaku dalam setiap pilihan raya sejak kemerdekaan pada 1965.
Namun, peratusan undi popular yang diperoleh PAP akan menjadi penanda aras untuk mengukur tahap sokongan awam terhadap Wong.
Lawrence Wong mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mei 2024, menggantikan Lee Hsien Loong, yang mentadbir negara itu selama dua dekad.-AGENSI