RAMALLAH : Pihak Berkuasa Palestin mengarahkan penggantungan siaran rangkaian berita berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, di seluruh wilayah Palestin atas dakwaan menyiarkan kandungan bersifat menghasut, lapor agensi berita rasmi Wafa.
Menurut laporan itu, jawatankuasa menteri khas yang terdiri daripada Kementerian Kebudayaan, Dalam Negeri dan Komunikasi telah membuat keputusan untuk menggantung siaran dan membekukan semua aktiviti Al Jazeera, termasuk pejabatnya di Palestin.
“Keputusan ini juga melibatkan pembekuan sementara terhadap kerja semua wartawan, kakitangan, kru serta saluran yang berkaitan sehingga status undang-undang mereka diperbetulkan.
“Langkah ini diambil susulan tindakan Al Jazeera yang terus menyiarkan kandungan berunsur hasutan, laporan berunsur fitnah serta campur tangan dalam urusan dalaman Palestin,” lapor Wafa.
Seorang kakitangan Al Jazeera di Ramallah mengesahkan kepada AFP pejabat mereka telah menerima perintah penggantungan tersebut, semalam.
Rakaman yang disiarkan kemudian menunjukkan anggota keselamatan Palestin memasuki pejabat rangkaian itu di Ramallah dan menyerahkan arahan penggantungan tersebut.
Namun, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Al Jazeera.
Pergerakan Hamas mengecam keputusan penggantungan itu, menyifatkannya sebagai usaha menyekat hak dan kebebasan awam rakyat Palestin.
Hubungan tegang antara Al Jazeera dan pergerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu, susulan liputan rangkaian itu mengenai pertempuran antara pasukan keselamatan Palestin dan pejuang di Jenin.
Pada akhir Disember lalu, Al Jazeera mengecam kempen hasutan oleh Fatah terhadap rangkaian tersebut di beberapa kawasan di Tebing Barat.
Pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin, yang mempunyai kawalan terhad di Tebing Barat, terlibat dalam pertempuran berdarah dengan kumpulan bersenjata sejak awal Disember lalu.
Pergolakan di kem pelarian Jenin, kubu kuat kumpulan bersenjata di utara Tebing Barat, telah mengorbankan 11 nyawa, termasuk anggota keselamatan Palestin, pejuang dan orang awam.-AGENSI