JIKA satu ketika dahulu, bukan mudah untuk seseorang itu menjalani kehidupan seharian apabila memegang status sebagai orang kurang upaya (OKU), apatah lagi mengharapkan masa depan yang cerah.
Hal demikian kerana mereka sering menerima pandangan sinis masyarakat yang tidak mempercayai kemampuan golongan OKU kerana beranggapan tidak mampu menggalas tugas dengan baik.
Namun begitu, sesuai dengan peredaran zaman, golongan OKU di negara ini tidak lagi dipinggirkan, malah diberi peluang menyertai pekerjaan yang kebiasaannya dikuasai oleh manusia sempurna sifatnya.
Banyak sektor swasta kini membuka peluang pekerjaan kepada golongan istimewa itu dan antara yang paling menonjol adalah peluang bekerja di stesen minyak.
Bagi pengusaha Petron Jalan Dato Keramat, Pulau Pinang, Naqib Nor Said, beliau meletakkan kepercayaan dengan menggaji tiga pekerja OKU untuk jawatan Pembantu Perkhidmatan Pelanggan (CSA) atau lebih dikenali sebagai jurupam.
Naqib tidak menafikan pada awalnya beliau juga berasa bimbang untuk menggaji pekerja OKU, namun kebimbangannya itu semakin terhakis selepas melihat sendiri kesunggguhan ketiga-tiga pekerjanya itu.
“Buat masa ini, tiga daripada tujuh kakitangan kami adalah berstatus OKU masalah pendengaran. Pada awalnya saya berasa bimbang sekiranya ketiga-tiga OKU ini tidak dapat menyesuaikan diri, tapi kini mereka berjaya buktikan kemampuan masing-masing.
“Mereka sangat komited dalam menjalankan tanggungjawab, daripada segi kehadiran kerja juga sangat baik dan rata-rata pelanggan Petron gembira, bahkan ada yang memberi pujian betapa kakitangan OKU ini mampunyai nilai tambah berbanding kita yang normal.
“Daripada segi komunikasi dengan kakitangan OKU tiada masalah sebabnya teknologi pada masa kini memudahkan kami untuk berinteraksi dengan mereka,” katanya.
Antara pekerja OKU di bawah seliaan Naqib adalah Mohd Asry Salleh, 35, yang mempunyai masalah pendengaran, namun cukup komited dengan tugasnya apabila sudah berkhidmat sebagai jurupam selama tujuh tahun.
“Saya berterima kasih kepada Petron Malaysia kerana memberi peluang kepada golongan OKU seperti saya untuk bekerja. Pendapatan yang saya diperolehi digunakan untuk tampung kehidupan. Perasaan paling gembira apabila pelanggan yang sama datang berkali-kali untuk meminta saya membersihkan cermin kenderaan serta mengisi minyak.
“Kami di Petron dilatih untuk melakukan kerja pembersihan cermin secara profesional. Kami mampu menggalas tugas sama seperti orang normal. Untuk rakan-rakan OKU di luar sana, kena kuat semangat, tabah, dan terus berusaha. Jangan jadikan kekurangan kita sebagai penghalang untuk kita berjaya meneruskan kehidupan,” katanya.
Bagi Rosli Ishak, 58, yang sudah bekerja selama 10 tahun sebagai CSA pula, kepercayaan majikan untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan bertatus OKU cukup penting.
“Alhamdulillah sepanjang tempoh 10 tahun ini, saya sudah memberikan yang terbaik, tak susah pun untuk kami OKU menyesuaikan diri, tetapi yang penting kena pastikan jawatan itu bersesuaian dengan keupayaan kami,” katanya yang turut mengalami masalah pendengaran.-UTUSAN