OTTAWA : Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang selepas sembilan tahun menerajui pentadbiran negara itu.
Langkah tersebut diambil susulan tekanan daripada ahli-ahli Parlimen parti Liberal yang bimbang dengan prestasi buruk parti itu dalam tinjauan awal pilihan raya.
Dalam sidang akhbar yang berlangsung dengan nada tenang, Trudeau yang dikenali sebagai seorang pemimpin progresif paling berpengaruh di dunia, memaklumkan beliau akan terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan Ketua Parti Liberal sehingga pemilihan pemimpin baharu dibuat dalam tempoh beberapa bulan.
“Negara ini memerlukan pilihan sebenar dalam pilihan raya akan datang. Jika saya perlu berhadapan dengan pertempuran dalaman, saya tidak lagi menjadi pilihan terbaik untuk memimpin parti dalam pilihan raya tersebut,” kata Trudeau.
Beliau turut mengumumkan Parlimen akan digantung sehingga 24 Mac depan, yang secara tidak langsung menangguhkan sebarang kemungkinan pilihan raya sehingga Mei ini.
Trudeau dijangka kekal memegang tampuk kepemimpinan buat sementara waktu bagi menangani ancaman tarif besar yang mungkin dikenakan sebaik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengambil alih jawatan pada 20 Januari ini.
Pilihan raya seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya pada 20 Oktober depan.
Namun, tinjauan pendapat menunjukkan rakyat tidak berpuas hati dengan harga barang yang tinggi serta kekurangan rumah mampu milik, sekali gus dijangka memberi kemenangan besar kepada parti pembangkang, Konservatif, tidak kira siapa yang memimpin parti Liberal.–AGENSI