PARIS : Kementerian Kesihatan Perancis mengesahkan kes pertama jangkitan varian baharu virus cacar Monyet (Mpox).
Pesakit tersebut tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Tengah, lokasi asal penularan virus itu.
Namun, individu tersebut dipercayai mempunyai kontak rapat dengan dua orang yang baru pulang dari wilayah berkenaan, lapor AFP.
Pihak berkuasa kesihatan kini sedang menyiasat punca jangkitan selain giat mengenal pasti semua kontak rapat bagi mengawal penyebaran virus, jelas kenyataan itu.
Menurut laporan akhbar wilayah Perancis, Ouest France, pesakit tersebut ialah seorang wanita yang menerima rawatan di sebuah hospital di Rennes, kawasan barat laut Brittany.
Varian baharu mpox yang dikenali sebagai clade 1b variant itu sebelum ini dikaitkan dengan kecemasan kesihatan global yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Ogos lalu.
Jerman dan Britain masing-masing melaporkan kes pertama varian tersebut pada Oktober lepas.
Virus tersebut yang mula disebarkan di benua Afrika kini mula merebak ke benua lain seperti Amerika, Asia Barat dan kini Eropah.–AGENSI