KOTA KINABALU: Penutupan Pulau Sibuan, Semporna susulan penemuan objek dipercayai bom Perang Dunia Kedua dikhuatiri akan memberi kesan kepada industri pelancongan Sabah.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan kebimbangan itu kerana Pulau Sibuan antara destinasi yang terkenal untuk pelancong dan penyelam tambahan pula, negara sedang bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita tidak mampu kehilangan pengunjung akibat penutupan yang berpanjangan. Justeru, saya meminta Taman-Taman Sabah (TTS) dan agensi lain yang terlibat untuk memberikan garis masa yang jelas dan telus kepada orang awam mengenai bila pulau tersebut boleh dibuka semula.
“Saya juga berharap pihak berkuasa yang berkaitan dapat mempercepatkan proses penyiasatan dan pelupusan objek yang disyaki bom ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sektor pelancongan adalah komponen penting dalam ekonomi Semporna dan ramai rakyat tempatan bergantung kepada industri ini.
Katanya, beliau menghargai tindakan TTS untuk melindungi keselamatan orang awam, namun beliau menyeru pihak berkuasa untuk bertindak pantas bagi menangani isu ini dan memastikan pulau tersebut kembali selamat.
Menurutnya, langkah memberi garis masa pembukaan semula Pulau Sibuan dapat memberi keyakinan kepada pelancong dan pihak industri bahawa segala usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan isu ini.
Semalam, Pengarah TTS, Dr. Maklarin Lakim berkata, objek dipercayai bom Perang Dunia Kedua ditemukan pada jarak 30 hingga 50 meter dari pantai semasa petugas TTS sedang menjalankan kerja pembersihan pantai.
Justeru, Pulau Sibuan di Taman Marin Tun Sakaran ditutup pada pukul 12.30 tengah hari semalam dan pulau itu akan dibuka setelah objek yang dipercayai bom itu dialihkan dan diletupkan di kawasan yang selamat oleh PDRM.-UTUSAN