DOHA: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani mengumumkan Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan untuk menghentikan perang di Gaza serta melaksanakan pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak.
Gencatan senjata itu, yang diumumkan pada Rabu, dijangka berkuat kuasa pada Ahad, 19 Januari dan perjanjian tersebut akan membolehkan tebusan Israel dan tahanan Palestin dibebaskan serta bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.
Pengumuman perjanjian gencatan senjata ini mendapat reaksi positif dari seluruh dunia diantaranya ialah Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang menyatakan pertempuran di Gaza akan berhenti dan tebusan akan segera kembali ke pangkuan keluarga mereka dalam sidang akhbar di Rumah Putih.
Menteri Luar Turki, Hakan Fidan menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah penting untuk kestabilan serantau dan menegaskan komitmen Turki terhadap penyelesaian dua negara.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan berita yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Palestin setelah berbulan-bulan pertumpahan darah dan nyawa terkorban.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata,PBB bersedia menyokong perjanjian itu dan meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Manakala Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi pula mengalu-alukan perjanjian tersebut yng turut disertai oleh negara itu sebagai salah satu pengantara dalam satu hantaran di platform X, sambil menekankan kepentingan penghantaran segera bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Konflik berlarutan selama 15 bulan itu telah meragut sekurang-kurangnya 46,707 nyawa di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Serangan Israel bermula selepas Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023, menyebabkan 1,139 rakyat Israel terkorban dan kira-kira 250 orang diculik.
Perjanjian ini disifatkan sebagai langkah awal ke arah kestabilan dan penyelesaian diplomatik konflik Israel-Palestin. -AGENSI