KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang berlangsung esok di pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, belum menghantar semula notis himpunan yang lengkap kepada pihak polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, polis sebelum ini meminta penganjur melengkapkan notis pemberitahuan himpunan kerana tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.
“Notis sebelum ini dihantar penganjur memang mengikut tempoh ditetapkan, tapi kita (polis) minta dilengkapkan dan beri tempoh notis dikembalikan dengan kebenaran pemilik tempat.
“Namun sehingga hari ini, kita belum menerima kembali notis berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan penganjur bahawa lokasi perhimpunan itu tidak memerlukan kebenaran pemilik, Rusdi berkata, undang-undang jelas setiap penganjuran sebarang himpunan memerlukan kebenaran pemilik tapak.
Katannya, lokasi himpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka itu dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memerlukan kebenaran pihak terbabit.
“Memang ada ditetapkan dua lokasi yang dibenarkan untuk berhimpun iaitu Dataran Merdeka dan Padang Merbok namun perlu mendapat kebenaran kerana ia juga membabitkan kos yang perlu ditanggung penganjur sekiranya berlaku kerosakan.
“Kita memberikan kebebasan seluas-luas (berhimpun) namun ia bukan hak mutlak kerana ia perlu melalui proses undang-undang selain mematuhi peraturan antaranya tidak boleh bawa kanak-kanak dan ‘banner’ yang tertera perkataan bukan-bukan,” katanya.
Dalam pada itu, Rusdi berkata, seramai 400 pegawai dan anggota akan ditugaskan mengawal serta memantau penganjuran himpunan esok.
Bagaimanapun, katanya, tiada penutupan jalan akan dilakukan namun ia bergantung kepada keadaan semasa.
Selasa lalu, media melaporkan polis mengesahkan menerima notis pemberitahuan berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, bagaimanapun notis berkenaan tidak lengkap kerana tidak disertakan dokumen persetujuan daripada pemilik atau penghuni lokasi perhimpunan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Himpunan berkenaan akan berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo sebelum berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan akan berakhir di Dataran Merdeka. – UTUSAN